MENULIS PUISI

 

Betul memang bukan mudah, terkasima juga bila kita ditanya secara spontan apa yang kita faham tentang puisi. Soalnya itu yang perlu kita tahu sekurang-kurang bentuk puisi, elemen-elemen yang membentuk sesebuah karya. Termasuklah juga proses penciptaannya. Ukur taranya. Menulis puisi perlukan bakat, kemahiran berbahasa dan berani menulis berdasarkan bakat dan kemahiran itu

ii 

Menulis puisi tema atau suasana boleh merobah sikap penulis berkaitan dalam karyanya misalnya dari segi bentuk, pengucapan, stail. Perubahan ini melanggar kebiasaannya. Untuk kekal istiqamah ialah menerima tawaran tetapi mengekalkan prinsip atau lebih dihormati menolak sejujurnya. Realitinya jarang ada yang menjujuri diri.

iii

Setiap penulis puisi inginkan hasil karya yang terbaik dan lain daripada kebiasaan orang lain menulis. Sebolehnya begitu. Kelainan dalam berkarya bagiku sebagai suatu kepuasan dan tanggungjawab peribadi. Berjaya membina diksi baharu, segar dan mungkin sedap dibaca memandu pembaca menikmati. Pemikiran dan keindahan harus padu. Bermaksud karya itu bermatlamat. Pengucapan dan penggarapan serta bentuknya juga. Rumusnya karya yang mantap bakal kekal diingat zaman..

iv.

Cerita menulis puisi. Puisi boleh dipelajari tetapi bukan mudah diajar. Ada masanya penulis ingin menghasilkan karya seperti apa penyair ternama buat. Tak mungkin mampu ia capai sebaik penyair tersohor itu. Pengaruhnya akan memakan masa untuk dikuasai, sama ada protegenya berjaya melakukan apa yang ia buat atau 'muridnya itu telah menemui bentuknya sendiri. Saya berpendapat penulis yang terbaik ialah ia berjaya membina pengucapan dan bentuk karya yang tersendiri.

v.

Menulis puisi, tidak semudah bermain domino. Yang penting, teruskan usaha mencari gaya pengucapa segar serta tersendiri. Adakala puisi seperti taman yang terbentang terang. Penyair harus pandai menanam dan menyusun letak pohon kata-kata agar indah, menjalarkan bijaksana dan kekal berkekalan lama di jiwa pembaca. Puisi ada waktunya, umpama sebuah lorong misteri. Penyair wajar menyediakan andang, tanda dan isyarat mencukupi agar khalayak pembaca mampu menemui dan menikmati dasar makna sebenarnya. - Abizai





MENULIS FIKIRAN

Menulis puisi menulis fikiran, berat bunyinya. Secara semula jadi memang beginilah dan tanpa disedari sesiapapun. Saat ia berkreatif idea-idea mengalir. Idea-idea itu berupa salinan fikirkan kepada bentuk kata. Kata-kata dari salinan diksi-diksi. Kata-kata terpilih digubah menjadi bentuk dan gaya bahasa menjatikan lagi ciptaan. Semakin padat semakin sedap tetapi harus berhati-hati agar aliran idea menerusi diksi atau kata-kata terpilih tidak kesasar atau tidak fokus sehingga melahirkan karya yang hambar, klise, lemah dan sebagainya.

Tiada peraturan dalam menulis puisi (Fahd Razy dalam SMP). Sebagai sebuah karya seni, biarlah ia berlaku secara semula jadi. Puisi tidak dapat diajar tetapi boleh dipelajari. Ada pendekatan sainsnya. Maknanya menghasilkan karya kreatif genre ini tidaklah semudah yang disangkakan. Pasti boleh siap tetapi bukan siap yang sebenarnya. Telusuri karya-karya besar atau karya-karya biasa tetapi segar.
Sekarang banyak puisi ditulis, diedar dan kita membaca. Tolak dulu mengapa puisi itu dihasilkan tetapi mengapa puisi semudah itu ditulis. Dalam sayembara, karya yang harus dibentangkan hendaklah sebuah hasil yang terhabis baik untuk pertembungan karya. Bukanlah yang
terbaik
, kerana tiada yang
terbaik
sebenarnya berbanding ciptaan Ilahi. Namun, sebagai sebuah karya kreatif, terlalu banyak yang boleh dibentuk mengikut acuan idea, fikiran atau tema-tema yang dikehendaki.
Jika mendasari 'cadangan' sains dalam menulis puisi, akhirnya kita boleh melihat semula, atau merasai kembali suka duka menghasilkan puisi. Namun jika itu kepuasan, kita belum berjaya sebenarnya. Menulis apapun karya kreatif merupakan percubaan-percubaan lain daripada kehidupan sebenar agar ia dirasai indah dan sebagainya.
Menulis puisi hanya separuh daripada perjalanan, kata buku SMP. Bahgian pertama rumus dalam berkarya. Seterusnya, tidak kurang penting juga apakah jodoh puisi tersebut? Mungkin sebilangan penulis tidak kisah, karyanya nanti bagaimana. Karya yang melekat dalam fikiran pembaca, apakah berlaku begitu? Jika ada karya yang bisa mengubah kehidupan seseorang tentu lebih baik. Soalnya ada tidak sesiapa menyatakan demikian. Sebab menikmati sesuatu agak sukar dibicarakan dalam bentuk kata-kata. Hal-hal ghaib ini mungkin ada.
Di akhir penulisan itu, pasti inginkan jodoh yang
terbaik
selain diterima pembaca, iaitu dinobatkan sebagai karya yang diketengahkan sebagai contoh untuk diberikan hadiah dan sebagainya. Tiada salahnya, namun usahakan sebaik mungkin ketika kita memulakannya. Menyemak ketika membina. Membaiki sebelum diberikan kepada sesiapa.

Bahasa Sang Penyair dan Kreativiti

BAHASA adalah rumah dan tanah air para penyair. Di sinilah dia lahir dan dibesarkan. Di sinilah dia tumbuh dan berkembang. Dari sinilah kemudian dia mengembara untuk memberi makna kehidupannya, sebelum pada akhirnya pulang kembali ke rumah keabadiannya.

Bahasa adalah jatidiri penyair. Kerananya, penyair yang kehilangan bahasanya, akan kehilangan segalanya dan kehilangan jati diri.  ‘Yang tak berumah takkan menegakkan tiang’, begitu kata salah satu bait  puisi penyair Rielke,  ‘Di Batu Penghabisan ke Huesca’.

Salah satu tugas penting seorang penyair adalah memelihara, memperkaya, dan mempertahankan bahasanya. Kerana itulah perjuangan menegakkan jati dirinya. Apatah lagi, sekarang ini pada kenyataannya, bahasa adalah salah satu benteng terakhir nasionalisme yang masih mampu bertahan di tengah  sumber misteri dan inspirasi  yang terkandung di dalamnya. Menjadikan karya-karya, yang hakikatnya adalah untuk mengangkat dan mempertahankan harkat dan martabat kemanusiaan. Karya-karya inilah yang kelak menjadi keterlibatan para penyair terhadap pembentukan kebudayaan bangsa dan tanah airnya.

Karya-karya yang wujud dalam bentuk puisi, novel, cerpen, teater, dan karya budaya lainnya, yang hanya lahir kerana adanya bahasa dan seluruh inspirasi yang disediakannya. Eksistensi seorang penyair, sasterawan, budayawan, adalah kerana karyanya. Karya-karya itu hanya lahir daripada proses kreativiti, dan kreativiti itu hanya dapat tumbuh dan berkembang, jika ada media ekspresinya yang hidup dan menggairahkannya, dan itu adalah bahasa. Kita belajar menulis puisi, belajar membangun kreativiti, sejak degup kehidupan manusia ini bermula. “Kun Fayakun “ itulah kata pertama. Itulah puisi pertama. Itulah imaji pertama yang mengaliri darah dan nafas para penyair. Dan kerana itu pulalah, bahasa Melayu sebagaimana wujudnya, dan kesedaran awalnya, adalah bahasa yang sangat kreatif, imaginatif dan menggairahkan.

Bahasa yang baik bagi penyair, adalah bahasa yang memberikan kebebasan kepadanya untuk mengembangkan dan mengolahnya menjadi media komunikasi yang mudah, ancar, dan bermakna dalam karya-karyanya. Keadaan yang demikian diperlukan penyair untuk menghasilkan karya-karya yang kuat, termasuk karya sastera. Karya-karya yang besar hanya lahir daripada bahasa yang merdeka, yang bebas, yang lentur, yang tidak terkurung dan terperangkap dalam berbagai aturan dan tata bahasa yang kaku dan beku.

Dalam hal ini, bahasa Melayu, adalah salah satu bahasa yang sangat apresiatif. Bukan hanya memiliki kemerdekaan dalam bentuk dan struktur bahasanya, juga memiliki keindahan dalam diksi,  intonasi, dan ritmanya sehingga menjadi bahasa yang sangat puitis. Lihatlah syair,  salah satu bentuk karya sastera Melayu. Atau pantun, gurindam, seloka dan sebagainya.  Membacanya, seakan kita bernyanyi. Kita berdendang. Kerana itu, ada yang menyamakan keindahan bahasa Melayu itu dengan keindahan bahasa Sepanyol. Bahasa yang merdeka, yang bebas, adalah bahasa  yang selalu memberikan inspirasi, yang seakan tak pernah diam. Terus menggelitik batin penyair untuk terus meluapkan ekspresi, yang terus mengajaknya untuk terus menggali mencari inti esensinya. Bahasa yang demikian sangat diperlukan untuk proses kreativiti menghasilkan karya-karya sastera, terutama puisi. Kerana bahasa yang merdeka itu sangat imajinatif.

Menulis puisi itu adalah menulis metafora, menuangkan imajinasi. Dengan sepatah kata, serangkai  hanya satu kata saja, penyair sudah bisa menghasilkan sebuah puisi yang penuh makna. Lihat puisi Usman Awang yang berjudul ‘Melayu’, atau sajak panjang Kemala ‘Meditasi’ atau A.Samad Said dalam ‘A-Amin’, dan karya-karya luar biasa As-Suhaimi, dalam buku-bukunya ‘Wajah’, ‘Taman Takwa’ dan beberapa yang lain, atau yang sangat terkenal sajak-sajak Chairil Anwar berjudul ‘Aku Ini Binatang Jalang’ dan sajak satu baris penyair Sitor Sitomurang, ‘Bulan di Atas Kuburan’. Kalau permata dari Sabah pula kita telah dihadiahkan melalui kelahiran penyair-penyair terbaik seperti Jasni Matlani, Norawi Haji Kata, Soibil Madun, Ramzah Dambul dan Mabulmaddin Shaiddin dan tanpa melupakan Amil Jaya, Jamdin Buyong dan Zaiton Ajamain.

Kerana itu, di negeri kita ini, misalnya,  karya-karya besar dan kuat, banyak lahir dari para penyair atau sasterawan yang berlatar belakang dan bertutur dalam bahasa Melayu walaupun barangkali ada yang berasal daripada kaum Kadazan-Dusun, Bajau, Sino Kadazan dan sebagainya, kerana pengaruh dan keunggulan bahasa Melayu yang sangat imajinatif itu dan atas sebab dasar Pendidikan Kebangsaan. Bahkan ada yang mengatakan, semua orang boleh jadi penyair, kerana memiliki bahasa Melayu, salah satu bahasa yang mempunyai semua aspek puitikal terbaik sebagai bahasa puisi. Bahkan pernah dikatakan juga, masyarakat kita di Sabah ini lebih baku bahasa Melayunya berbanding di negeri-negeri lain. Ini menjadi satu nilai tambah dan yang mengahkan dunia sastera Malaysia sebenarnya.

Meskipun puisi-puisinya ditulis dalam bahasa Melayu, tetapi di dalam puisi-puisi itu dapat dirasakan gaya pengucapan yang menampilkan semangat dan tradisi tuturan lokal, jejak awal sejarah dan budaya ibundanya. Muncul sejumlah kata-kata lokal, bahkan yang sudah termasuk kata-kata arkais. Bentuk-bentuk pengucapan, terutama  puisi, makin banyak yang kembali ke struktur syair, gurindam, dan berbagai bentuk lain dalam bahasa-bahasa sukuan.

Puisi-puisi ini, akan semakin kelihatan kelokalan, keasalannya, bila sudah dibacakan. Dan pada kenyataannya, meskipun dominasi bahasa ibunda, gaya penuturan setempat, karya-karya itu tetap komunikatif, dapat dirasakan, dapat difahami, kerana pada hakikatnya bahasa itu, bagaimanapun bezanya, rohnya adalah pada kesamaan rasa, yang dapat dibangkitkan dalam bentuk simbol-simbol, dalam isyarat-isyarat. Lihatlah bagaimana bahasa prokem itu masuk dan mengaduk-aduk karya sastera, termasuk puisi-puisi dan novel, terutama bahasa Bajau atau Kadazan atau Murut dan bahasa pergaulan di Sabah. Juga bahasa Facebook, bahasa Twitter, dan yang sangat fenomenal adalah bahasa Android, yang mampu membangun komunikasi secara luas, hanya dengan simbol-simbol (simile), yang betapapun asing dan aneh, tetapi seakan dapat berbaur dan berkomunikasi dengan komuniti mereka yang berbeza.

Bahasa juga adalah bahagian daripada kesejarahan. Dalam pemahaman harfiah, bahasa memang berfungsi sebagai alat untuk berkomunikasi. Dimulai dengan simbol-simbol, lalu kata, lalu kalimat, dan seterusnya. Kini, bahasa komunikasi, kembali ke simbol-simbol, meskipun lebih universal. Bahasa Melayu sebagai bahasa yang merdeka, kreatif, imaginatif, dan sugestif, ada di dalam proses modenisasi dan simplikasi komunikasi manusia dalam berbahasa, ikut membangun simbol-simbol universal itu.

Kerana itu, ‘takkan Melayu hilang di dunia’, sepanjang mereka masih memiliki bahasa, sepanjang masih memiliki simbol-simbol yang universal. Masih ada 300 juta orang Melayu di dunia. Maka tegakkanlah Melayu di atas pancang bahasanya. Sebab  kalau orang Melayu sudah kehilangan bahasanya, maka mereka kehilangan segala-galanya. Dan hampir kepada satu pembuktian apabila memilih dasar, memandang ke timur sedangkan bahasanya, memandang ke barat. Inilah realiti yang amat sukar lagi dibendung terutama dalam kalangan adikuasa kita!


Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com