BAHASA adalah rumah dan tanah air para penyair. Di sinilah dia lahir dan dibesarkan. Di sinilah dia tumbuh dan berkembang. Dari sinilah kemudian dia mengembara untuk memberi makna kehidupannya, sebelum pada akhirnya pulang kembali ke rumah keabadiannya.
Bahasa adalah jatidiri penyair. Kerananya, penyair yang kehilangan bahasanya, akan kehilangan segalanya dan kehilangan jati diri. ‘Yang tak berumah takkan menegakkan tiang’, begitu kata salah satu bait puisi penyair Rielke, ‘Di Batu Penghabisan ke Huesca’.
Salah satu tugas penting seorang penyair adalah memelihara, memperkaya, dan mempertahankan bahasanya. Kerana itulah perjuangan menegakkan jati dirinya. Apatah lagi, sekarang ini pada kenyataannya, bahasa adalah salah satu benteng terakhir nasionalisme yang masih mampu bertahan di tengah sumber misteri dan inspirasi yang terkandung di dalamnya. Menjadikan karya-karya, yang hakikatnya adalah untuk mengangkat dan mempertahankan harkat dan martabat kemanusiaan. Karya-karya inilah yang kelak menjadi keterlibatan para penyair terhadap pembentukan kebudayaan bangsa dan tanah airnya.
Karya-karya yang wujud dalam bentuk puisi, novel, cerpen, teater, dan karya budaya lainnya, yang hanya lahir kerana adanya bahasa dan seluruh inspirasi yang disediakannya. Eksistensi seorang penyair, sasterawan, budayawan, adalah kerana karyanya. Karya-karya itu hanya lahir daripada proses kreativiti, dan kreativiti itu hanya dapat tumbuh dan berkembang, jika ada media ekspresinya yang hidup dan menggairahkannya, dan itu adalah bahasa. Kita belajar menulis puisi, belajar membangun kreativiti, sejak degup kehidupan manusia ini bermula. “Kun Fayakun “ itulah kata pertama. Itulah puisi pertama. Itulah imaji pertama yang mengaliri darah dan nafas para penyair. Dan kerana itu pulalah, bahasa Melayu sebagaimana wujudnya, dan kesedaran awalnya, adalah bahasa yang sangat kreatif, imaginatif dan menggairahkan.
Bahasa yang baik bagi penyair, adalah bahasa yang memberikan kebebasan kepadanya untuk mengembangkan dan mengolahnya menjadi media komunikasi yang mudah, ancar, dan bermakna dalam karya-karyanya. Keadaan yang demikian diperlukan penyair untuk menghasilkan karya-karya yang kuat, termasuk karya sastera. Karya-karya yang besar hanya lahir daripada bahasa yang merdeka, yang bebas, yang lentur, yang tidak terkurung dan terperangkap dalam berbagai aturan dan tata bahasa yang kaku dan beku.
Dalam hal ini, bahasa Melayu, adalah salah satu bahasa yang sangat apresiatif. Bukan hanya memiliki kemerdekaan dalam bentuk dan struktur bahasanya, juga memiliki keindahan dalam diksi, intonasi, dan ritmanya sehingga menjadi bahasa yang sangat puitis. Lihatlah syair, salah satu bentuk karya sastera Melayu. Atau pantun, gurindam, seloka dan sebagainya. Membacanya, seakan kita bernyanyi. Kita berdendang. Kerana itu, ada yang menyamakan keindahan bahasa Melayu itu dengan keindahan bahasa Sepanyol. Bahasa yang merdeka, yang bebas, adalah bahasa yang selalu memberikan inspirasi, yang seakan tak pernah diam. Terus menggelitik batin penyair untuk terus meluapkan ekspresi, yang terus mengajaknya untuk terus menggali mencari inti esensinya. Bahasa yang demikian sangat diperlukan untuk proses kreativiti menghasilkan karya-karya sastera, terutama puisi. Kerana bahasa yang merdeka itu sangat imajinatif.
Menulis puisi itu adalah menulis metafora, menuangkan imajinasi. Dengan sepatah kata, serangkai hanya satu kata saja, penyair sudah bisa menghasilkan sebuah puisi yang penuh makna. Lihat puisi Usman Awang yang berjudul ‘Melayu’, atau sajak panjang Kemala ‘Meditasi’ atau A.Samad Said dalam ‘A-Amin’, dan karya-karya luar biasa As-Suhaimi, dalam buku-bukunya ‘Wajah’, ‘Taman Takwa’ dan beberapa yang lain, atau yang sangat terkenal sajak-sajak Chairil Anwar berjudul ‘Aku Ini Binatang Jalang’ dan sajak satu baris penyair Sitor Sitomurang, ‘Bulan di Atas Kuburan’. Kalau permata dari Sabah pula kita telah dihadiahkan melalui kelahiran penyair-penyair terbaik seperti Jasni Matlani, Norawi Haji Kata, Soibil Madun, Ramzah Dambul dan Mabulmaddin Shaiddin dan tanpa melupakan Amil Jaya, Jamdin Buyong dan Zaiton Ajamain.
Kerana itu, di negeri kita ini, misalnya, karya-karya besar dan kuat, banyak lahir dari para penyair atau sasterawan yang berlatar belakang dan bertutur dalam bahasa Melayu walaupun barangkali ada yang berasal daripada kaum Kadazan-Dusun, Bajau, Sino Kadazan dan sebagainya, kerana pengaruh dan keunggulan bahasa Melayu yang sangat imajinatif itu dan atas sebab dasar Pendidikan Kebangsaan. Bahkan ada yang mengatakan, semua orang boleh jadi penyair, kerana memiliki bahasa Melayu, salah satu bahasa yang mempunyai semua aspek puitikal terbaik sebagai bahasa puisi. Bahkan pernah dikatakan juga, masyarakat kita di Sabah ini lebih baku bahasa Melayunya berbanding di negeri-negeri lain. Ini menjadi satu nilai tambah dan yang mengahkan dunia sastera Malaysia sebenarnya.
Meskipun puisi-puisinya ditulis dalam bahasa Melayu, tetapi di dalam puisi-puisi itu dapat dirasakan gaya pengucapan yang menampilkan semangat dan tradisi tuturan lokal, jejak awal sejarah dan budaya ibundanya. Muncul sejumlah kata-kata lokal, bahkan yang sudah termasuk kata-kata arkais. Bentuk-bentuk pengucapan, terutama puisi, makin banyak yang kembali ke struktur syair, gurindam, dan berbagai bentuk lain dalam bahasa-bahasa sukuan.
Puisi-puisi ini, akan semakin kelihatan kelokalan, keasalannya, bila sudah dibacakan. Dan pada kenyataannya, meskipun dominasi bahasa ibunda, gaya penuturan setempat, karya-karya itu tetap komunikatif, dapat dirasakan, dapat difahami, kerana pada hakikatnya bahasa itu, bagaimanapun bezanya, rohnya adalah pada kesamaan rasa, yang dapat dibangkitkan dalam bentuk simbol-simbol, dalam isyarat-isyarat. Lihatlah bagaimana bahasa prokem itu masuk dan mengaduk-aduk karya sastera, termasuk puisi-puisi dan novel, terutama bahasa Bajau atau Kadazan atau Murut dan bahasa pergaulan di Sabah. Juga bahasa Facebook, bahasa Twitter, dan yang sangat fenomenal adalah bahasa Android, yang mampu membangun komunikasi secara luas, hanya dengan simbol-simbol (simile), yang betapapun asing dan aneh, tetapi seakan dapat berbaur dan berkomunikasi dengan komuniti mereka yang berbeza.
Bahasa juga adalah bahagian daripada kesejarahan. Dalam pemahaman harfiah, bahasa memang berfungsi sebagai alat untuk berkomunikasi. Dimulai dengan simbol-simbol, lalu kata, lalu kalimat, dan seterusnya. Kini, bahasa komunikasi, kembali ke simbol-simbol, meskipun lebih universal. Bahasa Melayu sebagai bahasa yang merdeka, kreatif, imaginatif, dan sugestif, ada di dalam proses modenisasi dan simplikasi komunikasi manusia dalam berbahasa, ikut membangun simbol-simbol universal itu.
Kerana itu, ‘takkan Melayu hilang di dunia’, sepanjang mereka masih memiliki bahasa, sepanjang masih memiliki simbol-simbol yang universal. Masih ada 300 juta orang Melayu di dunia. Maka tegakkanlah Melayu di atas pancang bahasanya. Sebab kalau orang Melayu sudah kehilangan bahasanya, maka mereka kehilangan segala-galanya. Dan hampir kepada satu pembuktian apabila memilih dasar, memandang ke timur sedangkan bahasanya, memandang ke barat. Inilah realiti yang amat sukar lagi dibendung terutama dalam kalangan adikuasa kita!