Metafora: gaya bahasa dalam puisi



GAYA bahasa sering menjadi faktor penentu diterimanya sebuah karya oleh khalayak penikmatnya mahupun oleh penganalisis sastera. Bertolak daripada kenyataan ini, apakah anda menyedari puisi anda diperindah oleh gaya bahasa milik anda sendiri? Atau itulah puisi apa adanya terilham dan ditulis sekali duduk tanpa menguji kaji atau meneroka gaya bahasa sebagai unsur keindahannya. Mungkin sahaja anda berfikir inilah persembahan sebuah puisi sebagai sastera tulis yang sarat di dalamnya sebuah mesej besar!

Penelitian stilistika berdasarkan asumsi bahawa bahasa sastera mempunya tugas mulia (Suwardi, 2002:72). Bahasa memiliki pesan keindahan dan sekaligus membawa makna. Tanpa keindahan bahasa, karya sastera menjadi hambar. Keindahan karya sastera, hampir sebahagian  besar dipengaruhi oleh kemampuan penyair memainkan bahasa. Kelenturan penyair berolah bahasa akan menciptakan keindahan khas sastera. Dengan kata lain, bahasa adalah wahana khusus ekspresi sastera.

Puisi bukanlah sebuah bentuk komunikasi atau informasi langsung melalui ungkapan-ungkapan literer. Banyak makna yang diungkap di dalam puisi yang tidak dapat disampaikan menggunakan bahasa yang biasa. Puisi memerlukan cara pengungkapan sendiri. Bahasa puisi adalah bahasa khas. Yakni, bahasa yang telah direkayasa sedemikian rupa untuk tujuan yang khas.

Namun demikian, puisi yang baik bukanlah puisi yang sukar untuk difahami akibat penggunaan metafora semula jadi (creativa methaphor) atau metafora konvensional (lexical metaphor). Puisi yang baik adalah puisi yang mampu memberi pencerahan, inspirasi,  dan makna bagi kehidupan pembacanya atau pendengarnya (jika puisi dibacakan) tanpa memerlukan masa yang panjang untuk membedahnya dengan menggunakan pelbagai referensi.

Pertanyaannya, seberapa ramaikah pembaca yang belajar atau mengetahui tentang teori semiotika; tanda puisi (poetic signs), tanda linguistik (linguistic signs); semantik, juga metafora, untuk memahami kata demi kata di dalam puisi yang merupakan “kendaraan makna” (vehicle of meaning) sehingga menemukan makna puisi (poetic meaning)?

Pengetahuan tentang sastera khususnya puisi tidak semua orang mengetahuinya. Apabila bercakap tentang tanda-tanda, perlambangan atau imajan, gaya bahasa seperti metafora atau personafikasi, hanya segelintir yang tahu waima penyair itu sendiri bahkan. Terdapat penyair yang tahunya hanya menulis puisi tanpa memikirkan atau mengambil peduli hal-hal berkaitan dengan gaya bahasa atau pendekatan karya yang dihasilkannya. Namun secara kebetulan, hal-hal yang diperkatakan ini wujud dalam karya mereka selepas dibedah atau dibicarakan oleh penganalisis sastera.

Metafora sering hadir dalam karya sastera. Zaidan Hendy (1991:69) mengemukakan bahawa metafora berasal daripada kata 'meta' dan 'phoreo' yang bererti bertukar nama atau perumpamaan. Metafora adalah majas perbandingan langsung, iaitu membandingkan sesuatu secara langsung terhadap penggantinya.

Metafora juga didefinisikan sebagai perbandingan dua perkara yang berlainan atau berbeza, tetapi mempunyai persamaan hanya di dalam konteks yang dibandingkan. Sebagai contoh, pulau dan impian adalah dua perkara yang berbeza, tetapi mempunyai persamaan di dalam konteks kedua-duanya adalah jauh dan memerlukan usaha penyair untuk sampai ke sana. Dari kaitan ini terciptalah metafora ‘pulau impian’. Contoh yang lain kata 'sungai' yang pernah digunakan oleh beberapa orang penyair. Misalnya Hassan Jaidin telah menulis sajak yang berjodol “Sungai Peribadi”, Rahman Shaari dan Ahmad Razali menghasilkan sajak “Sungai Sejarah”. Muhammad Haji Salleh menggunakan metafora ‘sungai takdir’ dalam sajaknya “Baris-baris dari Muzium Goethe”. Jair Sulai juga menggunakan metafora ‘sungai waktu’ dalam sajaknya “Belajar Resmi Sungai Waktu'. (Zurinah Hassan, 2011).

Metafora telah digunakan sejak awal sejarah kehidupan manusia. Malah Dr. Muhammad Haji Salleh (2002:135) menjelaskan bahawa perlambangan atau metafora adalah elemen penting di dalam puisi Melayu dan menentukan nilai estetikanya. Metafora terbentuk dengan adanya tindakan untuk membandingkan sesuatu konsep atau abstraksi dengan sesuatu yang konkrit dan lebih dekat atau lebih dikenali oleh masyarakat. Selain objek alam, metafora juga dibentuk daripada unsur-unsur lain seperti watak cerita rakyat dan lagenda. Terdapat banyak puisi yang membandingkan 'sifat setia' dengan Hang Tuah, 'angan-angan tinggi' dengan Mat Jenin, dan 'pemberontakan' dengan Hang Jebat. Di dalam sajak Dialog, karya Kassim Ahmad terdapat baris “aku akan pergi dengan seribu Jebat si anak tani” yang membawa maksud dia akan bertindak untuk menuntut keadilan.

Walau bagaimanapun alam jagat raya merupakan sumber metafora yang paling dominan di dalam puisi Melayu (Zurinah Hassan, 2001) Penyair amat akrab dengan alam seperti laut, sungai, gunung, awan, matahari, hujan dan pelbagai jenis tumbuh-tumbuhan. Sehubungan dengan itu, H.B. Jassin pernah menulis, “Seniman yang halus perasaannya sangat rapat hubungannya dengan alam sekitar. Dalam angan-angannya alam itu hidup juga dan tumbuh-tumbuhan, batu-batu dan bunga-bungaan baginya ialah makhluk yang bernyawa (H.B.Jassin. 1968:114) .

Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com