Membaca puisi di tempat lain



SAYA menghadiri program Baca Puisi Pena dengan tema Lestari Bahasa bagi edisi bulan Oktober baru-baru ini. Sudah lama juga hasrat membaca puisi di Kuala Lumpur disimpan dalam hati. Kali terakhir saya membaca puisi di ibu negara pada tahun 2007 bersama mentor saya SN Dato' Haji Ahmad Kamal Abdullah (Kemala) di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Pengalaman kali ini bagaimana pun agak menarik. Perjalanan saya ke Rumah Pena mengeluarkan banyak peluh lantaran menggunakan STAR-LRT dan berjalan kaki dari stesen Maharajalela ke rumah persatuan penulis tersebut. Nasib baik pernah ke Rumah Pena, meski pun dalam keadaan jalan tidak berlampu saya menemui jalan masuk. Dan, Ketua Satu Pena, Dr. Saleeh Rahamat menyambut. Sudah kelihatan di perkarangan Rumah Pena antaranya Pak Irmas Saring, Shukri Abdullah, Sutung Umar RS, Cikgu Ahmad Sarju, Ladin Nuawi, Zaen Kasturi dan Dr. Ibrahim Ghafar yang menjadi moderator baca puisi serta siswa-siswi UPSI. Tidak lama kemudian baru kelihatan SM Zakir, Dr. Shamsuddin Othman dan Wak Khalid Salleh.

Malam itu saya menyampaikan puisi berjudul 'Ayat-ayat Sampah'. Sebenarnya saya mahu membacakan puisi 'Citra Rimba Cinta Mahasinga' tetapi gagal mengesannya dari gajet Ipad yang sentiasa menemani saya. Selesai membaca, wartawan Berita Harian memintakan salinan puisi tersebut. Begitu canggihnya teknologi tanpa kertas, saya menghantar teks puisi itu terus kepada alamat e-melnya. Selesai satu tugas, mencari sahabat-sahabat penyair bertanya khabar dan membeli buku terbitan ITBM, saya harus segera beredar bersama teman sepejabat yang menemani saya sebelum LRT terakhir bergerak pada jam 11 malam.

Apa yang ingin saya katakan membaca puisi juga menjadi kegemaran saya. Walaupun sedar suara tidak sebaik para deklamator yang ada, tetapi kegemaran ini memberikan makna tersendiri. Deklamasi puisi perlu berguru, setidak-tidaknya dengan kawan-kawan rapat. Saya pernah berguru dengan Marzuki Ali, sekitar tahun 80-an, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan Negeri Sabah juga sering menganjurkan bengkel teater yang menerapkan elemen deklamasi puisi. Dalam bengkel ini Marzuki Ali mengajar kami bagaimana menyampaikan puisi yang baik. Sengsara juga dibuatnya. Dia mengajar teater di Pantai Tanjung Aru ketika itu. Kami bertempik hingga hilang suara. Pertama kali mendeklamasikan puisi di Auditorium Yayasan Sabah sempena Hari Alam Sekitar dengan suara yang hilang.

Selain Marzuki saya sentiasa mencontohi Haji Ismaily Bongsu dari segi persiapan dan penampilan di pentas. Sebetulnya saya juga tidak akan menyembunyikan bahawa orang yang banyak mengasah bakat saya dengan kawan-kawan yang bersama-samanya sekitar 1979 dan awal 80-an iaitu Hajah Zaiton Ajamain. Kawan-kawan yang dimaksudkan itu termasuklah Datu Osman Sulai, Rosnah Awang, Sharif Asmawan Sharif Doki, Masdan Nurasid, Maryam Gambur, Osman Ampang, Datu Ruslan Sulai, dan Ariah Judah (sekadar menyebut nama-nama). Dalam tempoh sepuluh tahun menyertai Kumpulan Anak Seni (saya pernah menyandang jawatan Setiausaha Kehormat Anak Seni tetapi meletakkan jawatan pada 1988 dan menyertai IPS dua tahun kemudian). Anak Seni banyak menyediakan ruang dan peluang belajar kerana tahun-tahun 80-an merupakan era di mana aktiviti seni dan budaya dan juga persuratan begitu menyerlah. Walaupun aktiviti baca puisi tidak begitu dominan berbanding sekarang, namun pengalaman awal pada era berkenaan amat membantu. Pengalaman itu diperkasa lagi apabila saya sempat bersama-sama Hajah Zaiton dan kawan-kawan menganjurkan pelbagai aktiviti penulisan, dua program Pengucapan Puisi Patriotisme dan ketika terpilih sebagai Penulis Anak Angkat DBP Cawangan Sabah pada tahun 1987.

Selepas menerima Hadiah Sastera Malaysia pada 1986 saya mula melangkah sedikit dan mendekati Datuk A.Samad Said yang sering berada di Kota Kinabalu, mengakrabi pula penulis-penulis muda seperti Zaen Kasturi dan penulis-penulis lain hingga mencetus gejolak kebangkitkan penulis-penulis muda sebagai sebuah kesedaran baru gerakan sastera Negara di Semenanjung.

Bahang gerakan ini selanjutnya menempiaskan impak yang luar biasa di Sabah dengan penubuhan IPS. Sebelum ini saya juga amat tekun mengamati corak bacaan puisi penyair-penyair seperti Pyanhabib, Dinsman, Sutung Umar RS, Moekhtar Awang (ketika menyertai Hari Sastera dan Hari Puisi) dan beberapa yang lain tentu sahaja A.Ghafar Ibrahim (AGI), Pak A.Samad Said seterusnya Pak Taufik Ismail (ketika beliau berada di Kota Kinabalu dan Pengucapan Puisi Kuala Lumpur yang juga saya ikuti) serta tidak lengkap jika tidak menyebut W.S.Rendra yang pernah membaca puisi di Kota Kinabalu.

Puncak pengakaran dunia puisi ialah semasa menjadi peserta Bengkel Penulisan MASTERA di Jakarta pada 1997 di bawah asuhan Pak Taufik Ismail, Pak Supardi Joko Damono dan Pak Abdul Hadi WM. Tempat lain yang terbaik setakat ini semasa menyertai Pertemuan Penyair Korea dan  Asia Tenggara ke-2 (KALF2) di Riau Indonesia pada 2011. Saya membicarakan pengakuan sebagai penyair dan membaca puisi bersama-sama penyair-penyair Korea Selatan, Singapura, Thailand, Vietnam, Myanmar, Brunai, Filipina dan Indonesia. Semua ini pada saya menjadi nilai tambah yang amat berharga sebagai penyair yang sentiasa ingin berguru, membaca dan menterjemahkan segala bacaan isi hati dan bacaan massa dunia yang diikuti.

Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com