Memilih Judul Puisi



SEPOTONG kuih pun harus diberi nama malah bagi mengenal seorang saya misalnya, juga harus dimulai dengan sebuah nama. Demikianlah halnya puisi.  Puisi perlu ada nama sekaligus perlu punya judul.

Langkah pertama dalam memahami puisi sebenarnya melalui judulnya. Judul merupakan sebuah lubang kunci. Melalui lubang kunci itu kita dapat menerawang ke dalam ceruk rantau puisi. Judul juga biasanya menggambarkan keseluruhan makna atau identiti terhadap sebuah puisi.

Bagi beberapa penyair menentukan judul seringkali menjadi hal yang paling sulit. Namun, hal yang sebaliknya dialami beberapa penyair yang lain. Tak jarang juga beberapa penyair memilih untuk tidak menjuduli puisinya kerana mungkin dirasanya tak ada judul yang cukup mewakili puisinya itu.

Ada yang mengambil  sebahagian baris pertama atau terakhir menjadi judul puisi. Ada yang memberi judul yang sama sekali tak terasa kaitannya dengan puisi. Ada pula penyair yang menjuduli karyanya dengan latar tempat mahupun waktu saat puisi itu ditulis. Ada penyair yang menuliskan judul terlebih dahulu sebagai titik berangkat puisinya. Ada yang mencari judul sebagai langkah akhir.

Bagaimanapun, judul puisi yang baik haruslah memiliki daya pikat tersendiri yang memancing, merangsang, mengajak, sekaligus menghantarkan pembaca kepada suatu ruang dalam sebuah puisi. Tidak semua puisi memerlukan judul, memang. Tetapi judul yang provokatif mungkin mampu menambah jumlah pembaca karya sastera.

Tidak ada peraturan untuk menyebabkan sebuah puisi terhasil lengkap dengan judulnya.Tetapi, membaca puisi menjadi semakin asyik jika kita menemukan sebuah puisi berjudul unik dan kandungan puisinya juga menarik. Kita boleh memata rantaikan antara judul dan isi. Kita malah dapat menjangka-jangkakan maksud penyair daripada judulnya dulu, lalu mencari pengertian terhadap puisinya. Kita barangkali boleh menyimpulkan: oh ternyata judulnya tidak tepat kerana sama sekali tidak berhubungan dengan isi; atau kita juga boleh berkata:kalau judulnya bukan ini sudah pasti puisi ini tak bererti apa-apa. 
 
Tetapi, kalau kita memang punya alasan, dan tidak ada cara lain untuk mengelak alasan itu, maka  biarkan saja puisi anda tak berjudul. Atau ditulis tanda titik sederet (sebaiknya tidak melebihi tiga titik) dan sebut saja itu judul. Atau judulnya: Belum Dijuduli. Sekali lagi asalkan anda memang punya alasan untuk melakukan itu, maka lakukanlah. Orang akan tahu, itu bukan kerana ketidak mampuan anda membuat judul yang baik, dengan kata lain, itu juga bukan kerana ketidak mampuan anda merangkai puisi yang baik. 

Judul bagi puisi boleh juga diperlakukan persis judul dalam sebuah berita. Dalam jurnalistik, judul bukan sahaja membuat pembaca penasaran, tetapi juga mewakili isi beritanya. Tapi, untuk puisi?  Saya fikir ia sebagai suatu jalan terakhir lantaran buntu akal atau sirna kata. Sesungguhnya, pada judul itu, di situ juga ada kebetulan untuk jadi kreatif: seberapa berani kita mencipta judul yang unik untuk puisi itu.

Memang tak ada ketentuan dalam membuat judul. Neruda dalam buku 100 Soneta Cinta, memberi judul masing-masing sonetanya dengan urutan angka roman. Shakespeare juga. Memang begitukah? Tidak juga. Jika orang kini mengutip satu dari rangkaian soneta itu, ada yang kemudian menyebut baris pertama seperti menyebut itu adalah judul puisinya. Anda harus selalu mentelaah karya-karya besar para penyair tersohor dunia dan tanah air. Pasti anda menemui langkah terarah untuk mengungguli judul bagi puisi-puisi anda.

Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com