KONFLIK dan sengketa merupakan sinonim
dua kata yang sama makna walaupun masih saling berdiri bagi mendukung
pengertian masing-masing. Kita sering mendengar konflik di mana-mana di dunia
yang berhubung kait dengan idea,
kepentingan, kehendak, aliran dan sebagainya antara individu atau kuasa besar
yang akrab menghasilkan sesuatu yang menggemparkan.
Konflik berasal dari kata kerja Latin
'configere' yang bererti 'saling memukul'. Secara sosiologis, konflik
dimaksudkan sebagai suatu proses sosial antara dua orang atau lebih (misalnya
kelompok) di mana salah satu pihak berusaha menyingkirkan pihak lain dengan
menghancurkannya atau membuatnya tidak berdaya.
Konflik telah menjadi bahagian daripada
kehidupan manusia sejak manusia ada di dunia. Apakah pengalaman intrinsik
seorang penyair terhadap konflik atau sengketa yang sedang kita saksikan kini
daripada kaca mata seninya? Penyair sebenarnya tidak berhenti membaca,
menikmati dan menyuburkan nikmatnya itu dalam bentuk diksi yang sebenarnya
sarat dengan seribu satu pemikiran, saranan dan harapan. Begitu berat saranan
difikirkan penyair begitu payah juga untuk menamatkan riwayat konflik dan
sengketa kerana pengakibatan manusia itu sendiri. Selagi manusia berpaksikan
kepada kemahuan, cita-cita dan keperluan yang benar baginya, konflik terus
terbina, sengketa terus menjelma dalam kehidupan manusia.
Soalnya mengapa konflik? Mengapa sengketa? Kita percaya setiap konflik atu
sengketa yang dialami masyarakat atau dalam kelmpok yang lebih besar didasari
oleh hal-hal yang saling bersangkutan dalam kehidupan yang semakin kompleks
kini. Ada empat hal yang mungkin dapat kita baca dan fikirkan bersama bagaimana
konflik atau persengketaan sering terjadi.
Pertama, perbezaan individu, yang
meliputi perbezaan pendirian dan perasaan. Setiap manusia merupakan individu
yang unik. Setiap orang memiliki pendirian dan perasaan yang berbeza-beza
antara satu dengan lainnya. Perbezaan pendirian dan perasaan terhadap sesuatu
hal atau lingkungan yang nyata ini dapat menjadi faktor penyebab konflik
sosial, sebab dalam menjalani hubungan sosial, seseorang tidak selalu sejalan
dengan kelompoknya. Misalnya, ketika berlangsung pentas muzik di lingkungan
pemukiman, tentu perasaan setiap warganya akan berbeza-beza. Ada yang merasa
terganggu kerana bising, tetapi ada pula yang merasa terhibur.
Kedua, perbezaan latar belakang
kebudayaan sehingga membentuk peribadi-peribadi yang berbeza. Seseorang sedikit
banyak akan terpengaruh dengan pola-pola pemikiran dan pendirian kelompoknya.
Pemikiran dan pendirian yang berbeza itu pada akhirnya akan menghasilkan
perbezaan individu yang dapat memicu konflik.
Ketiga, perbezaan kepentingan antara
individu atau kelompok. Manusia memiliki perasaan, pendirian mahupun latar
belakang kebudayaan yang berbeza. Oleh sebab itu, dalam waktu yang bersamaan,
masing-masing orang atau kelompok memiliki kepentingan yang berbeza-beza.
Kadang-kadang orang dapat melakukan hal yang sama, tetapi untuk tujuan yang
berbeza-beza. Sebagai contoh, misalnya perbezaan kepentingan dalam hal
pemanfaatan hutan. Para tokoh masyarakat menganggap hutan sebagai kekayaan adat
yang menjadi bahagian dari segi adat mereka sehingga harus dijaga dan tidak
boleh ditebang. Para petani menebang pohon-pohon kerana dianggap sebagai
penghalang bagi mereka untuk membuat kebun atau ladang. Bagi para pengusaha
kayu, pohon-pohon ditebang dan kemudian kayunya diesport guna mendapatkan wang dan membuka pekerjaan. Sedangkan bagi
pencinta alam hutan adalah bahagian dari persekitaran sehingga harus
dilestarikan. Di sini jelas terlihat ada perbezaan kepentingan antara satu
kelompok dengan kelompok lainnya sehingga akan mendatangkan konflik sosial
dalam masyarakat. Konflik akibat perbezaan kepentingan ini dapat pula
menyangkut bidang politik, ekonomi, sosial, dan budaya.
Keempat, perubahan-perubahan nilai yang
cepat dan mendadak dalam masyarakat. Perubahan adalah sesuatu yang lazim dan
wajar terjadi, tetapi jika perubahan itu berlangsung cepat atau bahkan
mendadak, perubahan tersebut dapat memicu terjadinya konflik sosial. Misalnya,
pada masyarakat kampung yang mengalami proses industrialisasi yang mendadak
akan memunculkan konflik sosial sebab nilai-nilai lama pada masyarakat
tradisional yang biasanya bercorak pertanian secara cepat berubah menjadi
nilai-nilai masyarakat industri. Nilai-nilai yang berubah itu seperti nilai
kegotongroyongan berganti menjadi nilai kontrak kerja dengan upah yang
disesuaikan menurut jenis pekerjaannya. Hubungan kekerabatan bergeser menjadi
hubungan struktural yang disusun dalam organisasi formal perusahaan.
Nilai-nilai kebersamaan berubah menjadi individualis dan nilai-nilai tentang
pemanfaatan waktu yang cenderung tidak ketat berubah menjadi pembahagian waktu
yang tegas seperti jadual kerja dan istirahat dalam dunia industri.
Perubahan-perubahan ini, jika terjadi secara cepat atau mendadak, akan membuat
kegoncangan proses-proses sosial dalam masyarakat, bahkan akan terjadi upaya
penolakan terhadap semua bentuk perubahan kerana dianggap mengganggu kehidupan
kebiasaan masyarakat yang telah ada.
Sebagai penyair isu-isu konflik dan
sengketa begitu menarik untuk digarap menjadi karya yang hebat. Kehebatannya
tentu sahaja bersangkutan dengan intipati konflik yang sedang melanda manusia.
Penyair bertindak sebagai pemerhati, perakam dan penganalisis perkasa yang
berjasa. Dia tidak mungkin mahu memihak mana-mana individu atau kelompok.
Suaranya ternyata lebih bebas sama ada ketika dia berada di luar lingkungan
individu atau kelompok berkenaan. Jika tidak penyair sedemikian merupakan orang
yang terikat dan harus menjaga kepentingan kelompoknya. Dengan kata lain ia
akan kehilangan nikmat terhadap nilai rasa, nikai fikir atau nilai
kebenarannya.
Saya pernah mengisi perbincangan
fikiran saya melalui beberapa buah puisi berhubung sengketa dan konflik yang
sentiasa meramahi kehidupan masyarakat di sekeliling. Sebuah puisi yang tulis
semasa berada di Pontianak Kalimantan Barat Indonesia ketika konflik keadilan
sedang menjadi caturan banyak orang di negara saya.
Satu
jalan telah berbagi. Sudah sampai masanya kau bersiap untuk memilih. Apakah
kelak benar jua yang telah kau pegang? Pandang saujana yang Tuhan berikan, bumi
tak pernah rela diperbuat sengketa. Sayang nafsu menguasai segala. Duniamu
teroka api menjadi lautan yang menenggelam. Sambil akal telah dibaham gelojoh.
Satu jalan telah berbagi dalam dendam-dendam yang tak sudah. (Sengketa).
Tuhan
tidak memberikan bumi ini untuk bersengketa. Ia suatu rahmat dan anugerah agar
mampu ditadbir dengan sebaiknya. Orang tidak lagi peduli semua itu.Nafsu
sarakahnya hanya tahu menakluk walau dengan apa cara sekali pun.
Sebuah lagi puisi yang saya tulis pada
tahun 1992 bertajuk 'Membebat Luka Sengketa'. Puisi ini ingin membawa pembaca
menilai sendiri kebaikan dan keburukan yang terhasil daripada sekian banyak
konflik dalam masyarakat. Bukankah bangsa kita sebuah bangsa yang begitu gemar
memelihara semangat tolak ansur, namun zaman telah menukar kulit dan isi
kemanusiaannya kepada kegemaran kepada perseteruanm konflik dan persengketaan.
Mengenali
jalur-jalur peta retorika kuasa/lebih baik hidupkan jantung bangsa/di
tengah-tengah riak sengketa/biarpun beza ketika berhujah kata/kita junjung
integrasi di bawah rumah demokrasi:/inilah rumah harmoni/inilah rumah
makmur/inilah rumah impian/nilai keunggulan negara tercinta/mempercayai
kekuatan yang telah dipasak/diakarumbikan sejarah kemanusiaan
warganya,/siapakah pemiliknya jika bukan kita/anak-anak/yang telah
digembirakan/oleh getar kemerdekaan/di mana telah tumpah darah kerana
setia/sekali lagi: setia, sekali lagi: setia!/harus maknakan setia ini.
(Membebat Luka Sengketa)
Barangkali telah dianggap salah bahawa
dengan sengketa itulah perjuangan. Dengan
konflik sesiapa perlu berjuang untuk mencari kebenaran. Namun yang
selalu menjadi mangsa ialah rakyat jelata atau kelompok yang lemah, mereka
seumpama pelanduk yang terkapar di tengah-tengah sengketa. Negeri tidak terurus
dengan baik. Orang yang maju akan terus ingin maju, dia punya wang dan dengan
wang itu dia boleh berdiri di hadapan dengan bangga. Dia berupaya menukar apa
sahaja termasuklah menguasai ekonomi dan membentuk budaya hidup persekitaran.
Soalnya, bilakah akan berakhir segala konflik dan sengketa itu?
Catat Ulasan