Membaca dan mempersembahkan puisi



KETIKA menyaksikan sebuah persembahan deklamasi puisi apakah yang kita inginkan daripadanya? Soalan berikut ini juga penting iaitu bagaimana cara terbaik menyampaikan puisi dalam arena deklamasi baik untuk majlis biasa mahupun dalam pertandingan? Pada saya deklamasi puisi harus dipelajari. Kemahiran membaca puisi harus melalui latihan-latihan yang tersendiri. Calon deklamator harus berguru dan mendapatkan ilmu daripada tokoh-tokoh yang cemerlang dalam bidang ini.

Sememangnya tidak ada cara membaca puisi yang boleh dikatakan terbaik. Dalam sesuatu pertandingan misalnya, pengadil mungkin tertarik dengan peserta yang mempunyai suara lantang, jelas, besar, bergema, penuh bersemangat dan bertenaga. Pada pertandingan lain panel mungkin memenangkan deklamator yang membaca dengan gaya sederhana, tenang dan terkawal, lembut dan bersahaja seolah sedang bercakap dan berkomunikasi dengan penonton.

Sebagai persembahan seni sememangnya deklamasi tidak mempunyai satu gaya saja. Tidak ada peraturan ketat dan khusus yang mesti patuhi. Sesuatu gaya yang membawa tuah kepada johan lalu mungkin tidak membawa kemenangan kepada peserta baru kerana meniru gaya orang lain yang menunjukkan kekurangan inovasi dan kreativiti.

Perkara utama dalam persembahan deklamasi ialah pembacaan yang membabitkan suara, sebutan, nada, intonasi, mimik muka, gerak badan dan sebagainya. Semua itu mesti dipadukan dengan harmoni dan sesuai dengan maksud puisi. Namun, tidak semua deklamator mampu berbuat demikian. Ada bacaan yang gagal menarik perhatian penonton. Kegagalan itu disebabkan beberapa faktor antaranya sebutan tidak jelas, kurang keyakinan atau terlupa.

Deklamator mesti menyebut setiap perkataan dengan jelas. Jika lain yang disebut lain kedengaran tentulah menjejaskan makna puisi. Contohnya: 'mereka' disebut 'merekah'; 'merdeka' dibaca 'merdekah'; 'martabat bangsa' kedengaran seperti 'murtabak bangsa' dan 'mujahid' kedengaran 'mujahit'. Apabila ini terjadi makna puisi berubah, malah menimbulkan kelucuan dan mengganggu penghayatan penonton dan ia dianggap satu kegagalan.

Terdapat sesetengah deklamator tidak yakin menghadap penonton. Ini menyebabkan ia teragak-agak, kurang bersungguh-sungguh, sebutan tidak jelas dan suara tidak keluar.  Mungkin darahnya mulai bergemuruh. Ini terjadi apabila deklamator tidak membuat persediaan secukupnya termasuk latihan. Pertandingan deklamasi puisi bukan bertujuan mendera peserta untuk menghafal. Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan membenarkan peserta membawa kertas di pentas, namun peserta yang boleh menghafal dengan baik tentu berhak menerima markah lebih kerana itu membuktikan kesungguhannya. Jika deklamator terlupa dan meninggalkan beberapa baris, tentu menjejaskan makna puisi. Ada deklamator terlupa perkataan asal lalu menggantikannya dengan perkataan lain sehingga maksud puisi berubah. Markah di potong mengikut sejauh mana pembacaan menyimpang daripada makna sebenar. Walaupun deklamator dibolehkan membawa kertas, mereka perlu pandai mengawal keadaan supaya tidak ketara jika tiba-tiba tidak dapat mengingati baris teks puisinya.

Ada deklamator berfikir dia mesti menjerit dan bertempik untuk menghasilkan pembacaan yang bertenaga. Ini salah sama sekali. Deklamasi bertenaga tidak bererti bertempik dari awal hingga akhir. Deklamator mesti membaca dan mengawal intonasi suara, meninggi dan merendahkan suara pada tempat sesuai dengan maksud teks. Jika deklamator bertempik dan berada terlalu dekat dengan mikrofon yang tidak begitu canggih, maka kedengaran bingit dan menyakitkan telinga. Ini mengganggu penonton dan pengadil.

Pendek kata, semua orang memerlukan persediaan dan latihan cukup untuk muncul dengan yakin di pentas. Untuk menjadi deklamator yang baik seseorang perlu membaca dan memahami puisi yang dideklamasikan. Berlatihlah menyebut setiap perkataan. Beri perhatian kepada perkataan yang sukar. Fikirkan gaya yang sesuai dengan puisi yang dipilih. Jaga kesihatan dan suara supaya bagus pada hari pertandingan. Buatlah gerakan atau senaman bagi memperbaiki pernafasan dan kawalan suara. Gunakan kreativiti mencari gaya baru dan tidak meniru gaya lampau.

Apabila puisi dipentaskan, baik pada pertandingan, teater atau dilagukan, ia mesti mencapai matlamat menyampaikan maksud puisi. Tidak ada gunanya puisi diberikan irama atau digayakan dengan pelbagai gerak dan tari jika irama atau pergerakan itu sendiri menenggelamkan maksud puisi. Menurut Zurinah Hassan, deklamasi puisi adalah persembahan seni. Pemarkahannya tidak dapat tidak dipengaruhi oleh cita rasa dan subjektiviti pengadil sebagai penilai hasil seni. Seperti hasil seni lain, ia meminta kreativiti dan gaya tersendiri.

Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com