Gubahan lagu dan perihal lirik dalam lagu-lagu puisi



KETIKA lagu-lagu puisi mula digerakkan oleh kumpulan Harmoni, Zubir Ali, M. Nasir,  Ibrahim Bachik, kumpulan Kopratasa, Ramli Sarip dan Julfekar Ahmad Shah sebagai satu aliran muzik di negara ini, masyarakat agak sukar untuk menerimanya. Barangkali kerana kekeliruan makna lirik lagu puisi itu. Misalnya, sewaktu pertama kali memperkenalkan lagu 'Penantian' oleh kumpulan Harmoni, ramai pendengar menganggap lagu itu membawa maksud kekecewaan dalam percintaan tetapi sebenarnya lagu tersebut membawa unsur ketuhanan yang mendalam. Kerana kekeliruan itu lagu 'Penantian' mendapat sambutan hebat. Seterusnya lebih banyak lagu daripada genre puisi mendapat perhatian dan sambutan yang baik daripada masyarakat pendengar.

Lagu-lagu puisi dapat dilihat daripada dua sudut iaitu pertama kerana lagunya dan kedua kerana liriknya. Ketika kita berkata kerana lagunya, lagu puisi tidak begitu menitikberatkan nilai 'puisi'nya sedangkan bila kita berkata kerana liriknya pula kerana  secara menyeluruh berdasarkan puisi karya para penyair atau penciptanya, barulah  boleh dianggap lagu yang digubah itu merupakan lagu puisi yang sebenar. Mungkin  kenyataan ini sebuah tanggapan umum dan disebabkan saya seorang penyair maka hal ini masih boleh dibahaskan.

Pada dasarnya, tidak banyak bezanya mengapa sebuah lagu itu disukai. Antara sebabnya ialah lagu itu sedap didengar, alunan melodinya menawan dan mengasyikkan, liriknya penuh makna dan pengertian. Lagu puisi juga tidak banyak bezanya dengan lagu-lagu pop, blues, rock atau pelbagai aliran lain. Ini kerana lagu-lagu puisi juga mempunyai melodi daripada pelbagai aliran muzik seperti rock, balada, asli, blues  dan R&B. Jika begitu, di manakah letaknya keistimewaan lagu puisi?

Lagu puisi merupakan genre lagu yang mempunyai ciri dan nilai tersendiri, berbeza dengan genre lagu lain. Lagu puisi menggunakan puisi (baca: puisi moden) sebagai lirik dan dasar ciptaannya. Memang tidak dapat dinafikan puisi sebagai lirik ada kalanya juga tidak berbeza dengan lirik bagi lagu biasa. Baca dan dengar lirik-lirik lagu M.Nasir (misalnya Awan Nano nyanyian Hafiz), sebahagian lirik lagu Ebeit G. Ade, Yuna atau kumpulan Rock Search dan Amok. Malah lagu-lagu rap dan hip-hop ternyata banyak sekali memanfaatkan bait-bait puisi.

Lazimnya, penciptaan lagu biasa akan mencipta melodi sesebuah lagu sebelum dituliskan liriknya untuk dipadankan dengan melodi yang dicipta. Tetapi mencipta lagu puisi, pencipta lagu perlu mencipta atau menggubah melodi atau muziknya berdasarkan bait-bait puisi yang didasarkannya. Bait-bait puisi itu pula tidak boleh ditulis semata-mata untuk menyesuaikan dengan melodi yang telah digubah. Di sinilah letaknya keistimewaan dan cabaran yang perlu dihadapi oleh seseorang komposer yang hendak menghasilkan lagu puisi.

Tetapi sebagai genre muzik, lagu puisi adalah penting kerana ia mempunyai nilai seni dan sastera yang tinggi. Lagu puisi ibarat pengucapan puisi dalam elemen muzik yang secara tidak langsung menterjemahkan unsur bunyi, ritma dan susunan kata yang diungkapkan penyair. Manakala pengubah lagu pula cuba menelusuri pemikiran penyair melalui kata dan bait-bait puisi.

Puisi atau lirik lagu yang sarat dengan nilai keindahan, kebenaran dalam hidup dan kasih sayang dalam ikatan keluarga mampu menjadi saranan penting untuk menyalurkan segala unsur kebaikan, kebahagiaan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat serta meninggalkan gejala negatif hidup di dunia.

Aktiviti penciptaan lagu-lagu puisi yang asli di Sabah pula tidak begitu tampak menyerlah kerana ramai penggiat lagu puisi hanya menyampaikan lagu-lagu yang sedia ada seperti nyanyian Ebiet G Ade. Kalau adapun, ia hanya bersifat sementara dan tidak bersungguh-sungguh. Julfekar Ahmad Shah pula hanya terlibat dengan lagu-lagu puisi pada peringkat awal penglibatannya dalam penggubahan lagu. Sementelahan, saya tidak juga ingin meletakkan Abu Bakar Elah sebagai pendominasi lagu-lagu puisi di Sabah hanya disebabkan penampilan lagu-lagunya yang bercirikan tempatan.

Namun kebelakangan ini sudah ada usaha untuk mendedahkan kepada para pelajar sekolah dalam penggubahan lagu berdasarkan puisi yang mereka persembahkan. Aktiviti dalam bentuk sayembara ini memberi galakan yang positif ke arah melahirkan minat terhadap penciptaan lagu-lagu puisi. Dewan Bahasa Dan Pustaka Cawangan Sabah juga tidak ketinggalan menganjurkan sayembara mencipta lagu puisi berdasarkan puisi-puisi para penyair di Sabah, cuma kurangnya ialah lagu-lagu yang dihasilkan dari sayembara ini selesai di pentas sahaja dan tidak disebarkan kepada khalayak yang lebih luas. Demikian juga apabila agensi yang sama menganjurkan persembahan lagu-lagu puisi tanpa henti, kita tidak nampak adanya lagu-lagu puisi yang baru, mungkin kerana yang diutamakan dalam program ini hanya panjangnya masa yang ingin dicapai bukan fokus kepada lagu-lagu puisi. Bagaimanapun, dalam konteks pelestarian, aktiviti-aktiviti seumpama ini harus dilakukan dengan harapan minat dalam kalangan generasi masa kini akan sentiasa berkembang.

Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com