Anak-anak Yatim dan 'Tasawur Istiqamah'



PENGARAH Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Sabah, Haji Samin Haji Ungki, mempelawa saya menulis dan menyampaikan sebuah puisi di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu pada bulan Syaaban tahun 2011. Program ini direncanakan untuk menyemarakkan sumbangan daripada pihak-pihak yang berkemampuan kepada umat Islam yang memerlukan di sepanjang bulan Ramadan ketika itu. Majlis yang  sederhana ini dinamakan "Salam Kasih Ramadan" disempurnakan perasmiannya oleh Datuk Seri Panglima Haji Yahya Hussin, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang mewakili Ketua Menteri.

Apabila dinyatakan tema serta intipati puisi tematik ini, seperkara yang terbersit dalam fikiran saya selain para fakir miskin ialah anak-anak yatim yang amat memerlukan perhatian, bantuan, sokongan dan keakraban umat Islam lain yang lebih bernasib baik. Walaupun wujud rumah-rumah anak yatim di tempat-tempat tertentu, saya percaya masih lagi ramai anak-anak berkenaan di merata negeri ini. Bantuan dan sokongan harus diungkayahkan secara berterusan sepanjang masa. Apabila menyentuh dukungan yang berterusan saya melakar sebuah pra-puisi dengan judul 'Tasawur Istiqamah'.  

'Tasawur' bermaksud suatu gambaran, tanggapan akal, persepsi atau pemikiran seseorang terhadap sesuatu perkara. Manakala 'Istiqamah' merupakan sikap jati diri yang teguh dan tidak luntur oleh apa jua pengaruh dan cabaran.  Sikap ini membolehkan seseorang itu terus berusaha untuk mencapai matlamat daripada usaha dan pengorbanannya.  Akhirnya sikap inilah yang menjadi faktor utama kejayaan.

Selain daripada hal-hal berkaitan keinsafan dan kesediaan membantu saya juga berhasrat menerapkan elemen-elemen Ramadan al-Mubarak itu sendiri termasuklah dari sudut ibadah dan bagaimana menggunakan kesempatan  menyemarakkan bulan yang mulia ini. Puisi ini saya bacakan sekali lagi dalam Majlis Berbuka Puasa SPR Bersama Anak-anak Yatim dari Rumah Anak Kesayangan Sembulan dan Yayasan Suria Tuaran baru- baru ini.

Umum maklum menyayangi dan memelihara anak yatim adalah kewajipan sosial setiap orang Islam. Dan ia adalah salah satu usaha perjuangan Islam yang jarang dilakukan orang. Dalam Al-Quran, perkataan anak yatim ini disebut puluhan kali. Antara ayat-ayat dalam Al Quran, Allah S.W.T berfirman dalam surah Al-Maaun, ayat 1 hingga 3 bermaksud “Tahukah kamu orang yang menidakkan agamanya. Itulah orang yang mengherdik anak yatim dan orang yang tidak menganjur yakni memberi  makan kepada orang miskin”

Allah S.W.T berfirman, dalam surah Ar-Ra’d, ayat 22 yang bermaksud “Dan orang-orang yang sabar kerana mencari keredhaan Tuhannya, mendirikan solat, menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami berikan, secara sembunyi atau terang-terangan serta menolak kejahatan dengan kebaikan. Orang-orang itulah yang mendapat kesudahan yang baik.”
Ibnu Majah meriwayatkan Rasullullah S.A.W. bersabda “Sebaik-baik rumah kaum muslimin ialah rumah yang terdapat di dalamnya anak yatim yang diperlakukan (diasuh) dengan baik, dan seburuk-buruk rumah kaum muslimin ialah rumah yang di dalamnya terdapat anak yatim tapi anak itu diperlakukan dengan buruk.”

Abu Hurairah R.A berkata, Rasullullah S.A.W.  bersabda: “pengasuh anak-anak yatim baik anaknya sendiri atau anak orang lain, denganku di syurga seperti ini, sambil menunjukkan dua jari telunjuk dan jari tengah.”

Ath-Thabrani  berkata, Rasullullah S.A.W. bersabda: “Demi yang mengutus aku dengan hak,  Allah tidak akan menyiksa orang yang mengasihi dan menyayangi anak yatim, berbicara kepadanya dengan lembut dan mengasihi keyatiman serta kelemahannya, dan tidak bersikap angkuh dengan apa yang Allah anugerahkan kepadanya terhadap jirannya.  Demi yang mengutus aku dengan hak, Allah tidak akan menerima sedekah seorang yang mempunyai kerabat keluarga yang memerlukan bantuannya sedang sedekah itu diberikan kepada orang lain. Demi yang jiwaku dalam genggamanNya, ketahuilah, Allah tidak akan memandangnya (memperhatikannya) kelak pada hari kiamat."

Begitu tinggi taraf anak-anak yatim ini di sisi agama kita. Berdasarkan huraian di atas tepat sekali dikatakan bahawa anak-anak yatim adalah satu golongan terpilih.

Semasa bersama kumpulan kecil anak-anak yatim baru-baru ini refleksi ingatan saya terhadap puisi 'Tasawur Istiqamah' amat kuat sekali. Begitu saya membacakannya ruang 'ballroom' senyap "dan setiap kalimat terucap warna diksi dan frasa baru dalam puisi tersebut. Misalnya 'membuka jendela kalbu', 'sumur perkasihan', 'saraf kasih sayang', 'kelopak bunga mulia', 'tebing dan aur Islam ', 'isi dan kuku akidah' dan bahtera tarawih'. Saya ingin kongsikan semula sebahagian puisi 'Tasawur Istiqamah' untuk amatan bersama:


Kembali ke kamar peribadi 
merenung jauh ke sumur perkasihan 
saraf kasih sayang yang mengakar 
wujud mahabah, Rasai segala urat nadi 
yang berdenyut menginsankan manusiawi 
bagai wangi kesturi menerawang 
kamar, Itulah kelopak bunga mulia 
yang diberikan maha Pencipta 
mekar subur tak pernah luntur

Di luar sana haruman kesturi inilah 
jambatan pertemuan memberi 
dan menerima sejarah peristiwa 
persaudaraan, Jalin ukhuwah menjadi 
tebing dan aur Islam  
 Isi dan kuku akidah mensyukuri 
mawadah Allah, Agar Ramadan 
bukan sekadar melupakan lapar 
melengkapkan segala malam 
dalam bahtera tarawih 
atau witir dan zikir 
sepertiga malam, 

Ini sahut tasawur istiqamah 
menganjur sifat pemurah 
merungkai lebih dalam 
dan sempurna erti sayang 
dan akrabnya perkasihan bersama.


Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com