Literasi dakwah dalam puisi Islam



KITA sangat mengagumi penyair-penyair Bumi di Bawah Bayu Sabah pada sekitar tahun-tahun emasnya. Bukan sahaja lahir penyair-penyair terbaik seperti Ariffin Arif, Ramlee Haji Gollah, Jair Sulai, Jasni Matlani, A.Rahim Tapah, Norawi Haji Kata, Ony Latifah Osman, Sahara Jais, Rosnah Radin (sekadar menyebut beberapa nama) bahkan karya-karya besar mereka telah mewarnai perpuisian Islami Malaysia. Percikan mahrajan sastera Islam melalui peraduan menulis puisi berunsur Islam dan percetakan antologi puisi berunsur Islam yang diupayakan oleh pihak-pihak yang komited terhadap dunia sastera Islam telah mengangkat nilai agama dalam masyarakatnya. Upaya ini mudah-mudahan dapat diperkasakan lagi menerusi karnival kesenian Islam yang dianjurkan kerajaan Negeri Sabah.

Puisi Islam adalah puisi yang berhiaskan nuansa keagamaan di dalamnya. Nuansa keagamaan dalam puisi Islam ini yang berupa ekspresi doa, penyebutan nama Allah dan nabi-nabi-Nya, dan dapat juga berupa tema puisi Islam yang diusung. Puisi Islam tidak selalu berbicara soal keilahian, tetapi juga berbicara tentang hubungan antarmanusia, kasih sayang, pujian, hingga pendapat tentang keadaan sosial yang ditampilkan dengan pilihan diksi nan indah selayaknya puisi pada umumnya.

Islam adalah agama Rahmatan lil ‘alamiin. Agama yang dirahmati Allah Swt dan diperuntukkan bagi semua umat manusia. Ajaran-ajaran agama dalam Islam disampaikan melalui dakwah. Media dakwah boleh sahaja dalam bentuk literasi atau karya sastera seperti puisi.

Pada dasarnya puisi Islam menjadi saranan penyampaian dakwah yang cukup baik setelah novel dan karya sastera lainnya kerana mampu menghadirkan hal-hal tersirat dari setiap kata yang tertulis. Makna tersirat dalam puisi Islam berisi ajakan kebaikan dan mengagungkan keesaan Allah Swt. Ia mengandung syair-syair untuk merepresentasikan perasaan hati sang penyair tentang keesaan Allah Swt dan kasih sayang yang diberikan-Nya dalam tiap hela nafas. Sejumlah puisi Islam tercipta dari hasil perenungan panjang dengan berduaan atau berkhalwat bersama Sang Pencipta.

Majlis ilmu adalah tempat literasi seperti puisi Islam banyak ditampilkan. Majlis ilmu bukan hanya tempat-tempat seperti Masjid, madarasah, sekolah dan pusat pengajian. Majlis ilmu juga bersumber dari bacaan, buku, dan media audio visual yang dengan caranya menyiarkan Islam hingga sampai ke seluruh pelosok negeri.

Tema-tema dalam puisi Islam tentunya sering berkaitan satu sama lain. Maksudnya agar ajaran Islam mampu diterima secara kafah atau menyeluruh dengan caranya sendiri. Tema akidah, akhlak, cinta, iman, ma’rifatullah atau mengenal Allah, ma’rifatul rasul atau mengenal rasul, ihsan atau kebaikan dan ajakan berdakwah merupakan tema yang sering dihadirkan secara tersirat dalam puisi Islam.

Puisi bukan hanya milik pujangganya melainkan juga milik mereka yang minat dengan sastra ini. Bila puisi konvensional atau yang bernafaskan sastera saja tanpa ada unsur Islami peminatnya hanya dari kalangan tertentu saja, berbeza dengan puisi Islam.Kerana kandungan dalam Puisi Islam lebih mengungkapkan perasaan hati sang pujangga akan keagungan Tuhan segala ciptaan-Nya, puisi ini ternyata bisa menggugah hati siapapun yang membacanya dari kalangan agama yang berbeza. 
Menulis puisi bukanlah semudah mengarang teori kerana genre ini boleh terhasil dengan penggabungan pelbagai disiplin termasuklah latar sang penyair. Jika tidak puisi Islam akan terbangun tanpa roh, ia indah bahkan menghiburkan jiwa tetapi kosong kerana tidak mampu dihayati oleh penyairnya sendiri apatah lagi pembaca atau penikmat puisi yang menginginkan ciptarasa yang amat tinggi nilai dakwahnya. Karya-karya yang terhasil hanya berupa salinan kehidupan atau 'a photocopy of life' yang biasa dirakam oleh pemotret terhadap sebuah taman, atau sebuah permatang atau sebuah banjaran yang hijau ataupun mungkin rakaman potret keluarga di satu majlis pernikahan. Kata-kata atau diksi tidak menjadi indah meskipun itulah ungkapan yang sehabis berjaya sebagai sebuah metafora, alegori, asonansi atau perlambangan, jika hanya mengambil kira puisi Islam berdasarkan istilah seperti 'Nya' atau 'Mu' atau unsur-unsur keAraban yang gagal dihayati maksudnya.

Kerana itulah juga mengapa puisi Islam hanya mampu dilakukan oleh mereka yang memiliki disiplin agama yang tinggi. Kita bahkan boleh membuat penilaian karya-karya yang menepati ciri-ciri Islami apabila mentelaah kembali buku-buku puisi yang pernah diterbitkan. Dan kita boleh mengatakan selepas itu bahawa puisi Islam bukan sekadar sebuah literasi dakwah semata-mata tetapi suatu penghayatan jiwa kepada penyairnya sendiri.

Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com