Sebuah Puisi yang Menjadi



“SEBUAH puisi yang menjadi adalah suatu dunia,” kata penyair Chairil Anwar, dan paradoks ini akan menghantar kita untuk melihat bagaimana puisi yang telah kita lahirkan itu menyatakan dirinya.

Sebuah puisi yang menjadi bukan sebuah puisi yang semata-mata jadi tidak tinggal terhenti dan tergantung pada apa yang membentuknya: kata dan konsep-konsep, “benda-benda” pampat yang tersaji dan siap untuk selesai. Demikian pula kata Goenawan Mohamad. Sebuah puisi yang “menjadi” selama-lamanya sebuah proses, bahkan seusai dibaca. Ia senantiasa bergerak, hadir, menyelinap, setengah sembunyi, tampil kembali (dengan isyarat-isyarat baru), mencipta tak henti-hentinya, berubah, menangguhkan konklusi.

Kita tidak pernah tahu bila dan di mana berakhirnya.

“Suatu dunia” sebaliknya bererti sebuah ruang yang meskipun terbentang, punya penghujung. Sebuah dunia punya garis batas. Chairil Anwar menjelaskan tentang “dunia” itu sebagai “dunia” yang diciptakan kembali sang penyair, dari “benda (materi) dan rohani, keadaan alam dan penghidupan sekelilingnya”, dan hal-hal lain yang “berhubungan dengan jiwa dengan Dia”. Dalam erti ini kehadiran sang penyair, autoritinya, dan lingkungan hidupnya, merupakan asal-usul dan sekaligus pemberi sosok yang definitif, sebuah mikrokosmos, kepada sebuah puisi.

Dan itulah paradoks: puisi bergerak antara “menjadi” dan “dunia”, sekaligus pertautan dan pergumulan yang tidak habis-habisnya antara keduanya. Puisi hidup dan bertenaga dalam sifatnya sebagai proses dan keterkaitannya kepada suatu “batas”. Puisi, seperti halnya hasil karya sastera kreatif umumnya, sedikit banyak mengandung semacam premis “realisme” mewakilkan dunia di luar sana, dan dengan demikian juga diberi batasan oleh dunia di luar sana itu, di samping mendapatkan tata tertibnya dari kesedaran simbolik tetapi serentak dengan itu juga hadir sebagai wacana yang tidak mentransmisikan pesan yang tetap kecuali bahawa dirinya sendiri harus menjadi suatu kemeriahan yang tanpa henti, dalam arus “menjadi”.

Tidak semua penyair mengakui paradoks itu. Kita sering menemukan puisi-puisi, khususnya era awal, yang kita duga hampir semata-mata mewakilkan “dunia”, dengan suatu pengalaman bahasa yang pada dasarnya berpegang pada makna sebagai satu sosok sendiri, utuh, “univokal”, di belakang kata-kata. Bahasa puisi bahkan bahagian dari sebuah agenda yang hendak menjelaskan dan mengubah “dunia” itu. Dengan demikian ia bukan saja mempunyai logos, tetapi juga mempunyai peranan.

Barangkali kita mahu kembali bertanya apakah puisi yang kita tulis itu memang yang menjadi atau asal jadi. Cuba baca semula karya masa sudah yang bertahun-tahun ditulis, sudah pasti ia jauh lebih muda dan kurang matang. Para penyair yang tegar dan telah menulis ratusan buah puisi sudah pasti bersedia untuk memberikan nilainya sendiri sama ada puisi-puisinya telah benar-benar siap bukan asal siap. Sebagai ingatan kepada penyair percubaan bahkan para penyair yang mapan sekalipun  supaya siaga untuk meyakinkan pembaca bahawa karya anda itu adalah yang siap yang nanti bakal dirungkai sebagai karya yang telah menjadi. Tentu sahaja masanya tiba pada suatu hari yang lain. Misalnya apabila sebuah kumpulan puisi yang diterbitkan itu merupakan kompilasi puisi yang hebat dan bersiap untuk menolak sebarang kritikan bahawa karya yang dihimpun itu bukan "sampah-sampah" yang diletakkan pada dunianya yang tidak tepat.

Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com