Puisi Sebagai Hasil Kerja Seni



NILAI estetik kata di dalam puisi biasanya merujuk kepada intuisi atau kepekaan dan pengalaman puitik seorang penyair sehingga mampu menciptakan pengertian kata dalam dimensinya yang baru, yang lebih segar dan hidup. Dimensi dalam perspektif yang lebih luas dari makna kata-kata itu sendiri dalam kandungan pengertiannya yang lama. Nilai kata-kata dalam puisi haruslah fleksibel atau lentur dalam erti kata lain tidak semata–mata mengacu pada pengertian leksikon yang baku, tapi terlebih lagi mampu mewujudkan imaji puitis penyairnya.

Seorang penyair yang baik akan memusatkan perhatian sepenuhnya pada pilihan kata-kata untuk menyampaikan pengalaman puitiknya agar tidak terjebak kepada kitsch, slogan, protes, esei atau bahkan prosa. Di dalam puisi, kata tidak lagi berfungsi sebagai alat komunikasi semata tetapi sesungguhnya merupakan lagu penggambaran jiwa penyair sebagai sebuah peribadi yang utuh. Tatkala berhadapan dengan puisi kita tidak lagi berasosiasi dengan kalimat, tetapi jestru kepada pemikiran, pengalaman, emosi dan cinta. Oleh kerana itu puisi yang baik tidak tampil sebagai sebuah realiti harafiah, ia harus mengandung misteri, terselubung oleh kabut tipis yang ghaib tapi tidak sepenuhnya gelap atau pelik, harus ada setitik cahaya yang menghantarkan kita kepada pemaknaan, lentik api itu harus terbit untuk merangsang pemikiran dan mampu menggugah perasaan. Kata-kata dalam puisi dipilih untuk menggugah rasa keindahan dan sekaligus harus mengandung kejujuran, kerana kejujuran adalah elemen penting dalam setiap karya sastera yang bermutu.

Puisi sebagai sebuah karya seni harus diciptakan dengan kreativiti yang melahirkan perjalanan jiwa seorang penyair, dan diksi di pilih dari unsur yang dihayati oleh penyair. Penyair harus dapat menemukan nilai-nilai yang ada dalam masyarakatnya dan mengangkatkannya menjadi sebuah karya yang sanggup memberi manfaat bagi kemanusiaan. Salah satu jaminan yang penting dalam kreativiti adalah kejujuran penyairnya terhadap apa yang dia kuasai. Boleh dikatakan bobot sebuah puisi dan juga karya sastera lainnya adalah untuk mengungkapkan kebenaran universal. Dalam sesebuah puisi, kebenaran itu terbungkus oleh metafora layaknya sutera tipis yang indah dan halus motifnya. Di situlah tantangan utama bagi seorang penyair untuk melahirkan sebuah puisi yang bagus, ia harus melewati sebuah perjuangan kreatif yang tidak mudah. Perjuangan merangkai kata-kata menjadi suatu kesatuan unikum yang utuh yang mampu menggelorakan perasaan dan mampu menyentuh kalbu.

Anggapan bahawa esensi puisi adalah tema atau gagasan dan bukannya kata menjadi gugur dengan sendirinya manakala kita melihat kenyataan bahwa sajak bukan semata kerja intelektual tapi lebih merupakan kerja seni, sebagaimana contoh yang pernah dikemukakan oleh Dr. Sapardi Djoko Damono bahawa seorang cendekiawan dengan segudang idea belum tentu dapat dengan mudah menulis sebuah puisi yang bagus dan berhasil. Bagi penyair seharusnyalah puisi merupakan sebuah proses pencarian, iaitu sebuah proses mencuba terus menerus dalam usahanya untuk menakluk kata.

Setiap penyair yang baik pasti memiliki arah dan punya obsesi tertentu dalam berkarya di mana ia dengan setia dituntut terus menerus mengunyah kata demi kata untuk mencapai kesempurnaan estetiknya, sekali pun proses itu harus ia lewati berulang kali dengan susah payah. Mengolah gagasan yang sama terus menerus adalah merupakan bentuk obsesi, kerana kata-kata boleh diciptakan kembali lewat sekian banyak pendekatan atau diproses kembali melalui segala aspek kreatif untuk mencapai sebuah impresi yang baru dan lebih segar dengan gaya pengucapan yang lebih bernas. Oleh kerana itu seorang penyair yang baik pada hakikatnya tidak pernah berhenti bereksperimen kerana setiap bentuk percubaan penulisan pengalaman dan perenungan ke dalam puisi adalah upaya untuk memperoleh jawapan daripada kegelisahan puitik seorang penyair untuk menemukan kata-kata yang tepat mewakili perasaan dan isi hatinya.

Setiap kali berkarya bererti mengasah kreativiti dan salah satu ciri kreativiti adalah mencari, tetapi tugas utama kreativiti bukan terletak pada usaha mencari itu sendiri melainkan terletak pada keakraban terhadap apa yang seseorang penyair pakai, garap dan temukan. Oleh sebab itu sudah seharusnya para penyair mengakrabi kata-kata, atau kalau perlu memperlakukan kata-kata sebagai seorang kekasih kerana itu merupakan salah satu bentuk pendekatan yang efektif agar kata-kata dapat tampil hidup dalam puisi-puisinya. Tema memang selalu saja berulang, seorang penyair sanggup terus menerus menulis tentang cinta, hidup atau kematian tetapi setiap kali pula ia mampu menghasilkan puisi yang berbeza sama sekali daripada karya yang sebelumnya. Hal ini hanya mungkin berlaku bagi seorang penyair yang mahu secara konsisten berkarya,  mengasah kepekaan dan pengalaman puitiknya sehingga setiap pengalaman, kejadian, maupun gagasan pemikiran yang paling sederhana sekali pun dapat ia gubah lewat inspirasi puitik menjadi sebuah puisi yang baik tanpa merasa perlu kehabisan kosa kata.

Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com