Keperluan Kata dalam Sebuah Puisi



UNSUR utama yang paling berperanan dalam sebuah cerpen adalah tema, namun apakah tema memegang peranan yang sama pentingnya dalam sebuah puisi? Pertanyaan tersebut cukup sering dilontarkan oleh mereka yang berminat terhadap karya sastera dan mereka yang ingin mendalami puisi khususnya, namun ironisnya pertanyaan itu belum tentu dapat dijawab oleh orang yang mengaku dirinya sebagai seorang penyair sekali pun.

Mengapa muncul hal yang demikian adalah disebabkan oleh begitu banyaknya calon penyair yang sibuk dengan fikirannya sendiri-sendiri. Para calon penyair itu terlampau sibuk dalam mengolah gagasan-gagasan untuk menjadikan karyanya sebagai sebuah karya yang fenomenal, sehingga terbebani oleh sejumlah misi untuk menyampaikan ‘sesuatu’ kepada pembacanya. Sesuatu itu boleh berupa pesan moral, khutbah, protes politik, kajian falsafah, kritik sosial, masalah cinta, masalah keluarga, atau laporan jurnalistik dengan berbagai gaya ungkap, akan tetapi si penyair lupa bahawa sesunguhnya ia tengah menulis sebuah puisi dan bukannya propaganda politik, pamflet, teks iklan, surat cinta atau berita surat khabar yang prosaik sifatnya.

Ramai calon penyair lupa atau tidak tahu bahawa keperluan sebuah puisi sesungguhnya bukan pada masalah tema atau gagasan tetapi lebih pada kata-kata, sebagaimana ditegaskan oleh Dr.Sapardi Djoko Damono ketika mengikuti bengkel puisi Mastera di Jakarta sedikit masa dahulu, mengatakan bahawa kata-kata adalah segala-galanya dalam puisi.

Menurut Marjorie Boulton pula, unsur-unsur pembentuk puisi dapat dilihat dari dua segi iaitu dari bentuk fizikal dan bentuk mental. Bentuk fizikal itu meliputi tipografi, diksi, irama, intonasi, enjambemen, repetisi  atau perulangan dan berbagai perangkat bahasa lainnya, sementara bentuk mental meliputi tema, asosiasi, simbol, pencitraan, dan emosi.

Pembahasan atas setiap unsur-unsur dalam puisi adalah hal yang sangat rumit terutama saat kita tidak melihatnya dalam kaitannya dengan unsur-unsur yang lain, kerana sebuah puisi merupakan sebuah 'totalitas yang unikum', akan tetapi kesedaran seorang penyair atas keberadaan kata sebagai unsur yang paling utama dalam penulisannya akan membantu diri si penyair dalam memahami keperluan dari proses kreatif penulisan puisi itu sendiri, sekali pun tentu saja seorang penyair dituntut pula memiliki pemahaman yang sama mendalamnya atas unsur-unsur puisi yang lain sehingga ia mampu melahirkan puisi yang bagus dan berhasil.

Kata-kata di dalam puisi adalah kata-kata yang sama sekali berbeza dengan teks dalam bentuk yang lain. Kata-kata dalam puisi memiliki peranan sangat penting kerana ia tidak saja harus mampu menyampaikan gagasan, tetapi juga dituntut untuk mampu menggambarkan imaji penyair dan memberikan impresi ke dalam diri pembacanya, sebab itu kata-kata dalam puisi lebih mengutamakan intuisi, imajinasi, dan sintesis sebagaimana dapat kita lihat daripada pendekatan puisi itu sendiri bertitik tolak dari bentuk organik puisi seperti menurut Herbert Read yang menyatakan bahawa puisi adalah ‘predominantly intuitive, imaginative, and synthetic’ sementara pilihan kata-kata dalam prosa lebih mengedepankan logika, bersifat konstruktif dan analitis.

Intuisi di dalam puisi adalah mengacu pada kemampuan karya itu untuk menyatakan kebenaran yang dapat diterima secara universal, jadi puisi yang baik mutlak mengandungi nilai-nilai kebenaran universal (universal truth). Sementara imajinasi dalam puisi merupakan upaya kreatif untuk memperkuat kesan suatu pengalaman puitik yang hendak disampaikan oleh seorang penyair. Dengan kata lain proses penulisan genre ini sepenuhnya harus lahir melalui sebuah proses kreatif.

Akhirnya dapat diikat bahawa puisi  merupakan sebuah sintesis kata-kata. Di dalamnya, puisi haruslah memiliki keunikan yang tidak langsung mengacu kepada sesuatu yang diungkapkannya bahkan juga ikut mengangkat pengertian yang luas dan mampu menimbulkan kesan rasa dan daya anggap yang jauh lebih mendekam serta mendalam.

Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com