Benteng puisi Melayu



PUISI merupakan karya seni yang berupaya berdiri teguh secara mandiri tanpa perlu berkhidmat untuk sesiapa. Puisi tidak wajar dizahirkan untuk tujuan lain selain untuk berpuisi. Ia tidak harus dinilai oleh prinsip retorik moral, mahupun disukat dengan berjana politik ataupun sebarang piawaian yang bukan estetik. Namun begitu, tidak bermakna puisi itu anarkis kerana sebagai karya seni tulen, ia mengandungi unsur-unsur pendidikan yang mempengaruhi pembentukan masyarakat dan budaya masa hadapan.

Penulis dan ahli falsafah Jerman seperti Kant, Goethe dan Schiller, misalnya, bersependapat bahawa karya seni haruslah mempunyai autonomi atau hak sendiri ke atas hasil ciptaan berbentuk seni. Idea seni untuk seni begitu jelas dalam perbincangan Victor Hugo dalam bahagian prakata Cromwell (1827) dan Hernani (1830). Bagaimana pun, beliau sama sekali tidak menolak persoalan moral meskipun tidak semestinya menjadi asas untuk diberikan fokus puitik.

Puisi merupakan santapan jiwa dan halwa raga kepada sesebuah masyarakat yang bertamadun. Legasi puisi dalam membina jati diri bangsa-bangsa teragung telah sekian lama dipaterikan dalam lembaran-lembaran sejarah dunia.

Ironinya, peranan puisi di negara kita pada dekad-dekad ini dianggap tidak lagi relevan oleh sesetengah pihak. Apatah lagi bidang sastera sudah lama dipinggirkan demi mengejar janji-janji alaf. Generasi hari ini tidak lagi memandang aliran sastera, apatah lagi bidang puisi, sebagai salah satu tonggak moral dan teras jati diri sebuah masa depan yang bermaruah.

Tegasnya, aliran sastera hari ini tidak lagi berupaya menjadi gerbang impian yang menjanjikan harta dan laba untuk kesejahteraan masa hadapan bagi generasi muda. Ditambah pula dengan sikap kebanyakan orang yang gemar mengejar sesuatu yang baru dan mencicirkan apa yang dikendong sekian lama. Walhal, bukan itu gagasan dan aspirasi negara.

Anehnya, dalam seluruh kegawatan masa hadapan buana puisi negara yang tidak ketentuan ini, sesetengah penggiat puisi kita masih leka berpolemik sesama sendiri. Sesetengahnya lebih gemar membentuk kelas atau kelompok tertentu dalam menilai mutu seni sesebuah karya puisi. Tidak kurang pula yang menyokong usaha pengelasan sebegini demi menjayakan agenda peribadi untuk mengangkat hasil karya sendiri.

Jangan terkejut jika dikatakan bahawa puisi hari ini terbahagi kepada kelas-kelas tertentu. Ia bukanlah fenomena globalisasi mahupun glokalisasi - bahkan ekoran daripada sikap kita sendiri yang kurang ambil peduli.
Secara umumnya, masyarakat sudah arif dengan mutu dan nilai seni mahakarya-mahakarya agung puisi-puisi garapan para Sasterawan Negara. Meskipun tidak akrab, tetapi kebanyakan daripada kita sudah biasa. Justeru, mercu pencapaian mereka tidak perlu dikupas bicara dan diragu sangsikan lagi. Atas akauntabiliti seni, mereka berkarya untuk masyarakatnya.

Malangnya, dalam usaha kita mengiktiraf mercu-mercu yang terbina itu, kita diajak pula menolak jerih usaha para pemuisi lain yang juga membina mercu-mercu karya mereka dengan hala cara yang sedikit berbeza. Mereka memilih untuk menzahirkan makna karya secara terang-terangan.

Puisi yang mudah difahami sebegini dengan pantas dilabelkan oleh para sarjana sastera sebagai prosa puitis atau puisi prosaik yang rendah mutu seni ciptaannya. Manakala bagi mereka yang mengambil pendekatan untuk keluar daripada klise dan retorik puisi dengan tidak menzahirkan makna karya mereka pula akan dilabelkan sebagai `puisi atau sajak kabur'. Kedua-dua kategori ini dilabelkan berada pada kelas yang sama oleh sekelompok penilai kesusasteraan puisi Melayu.

Buana puisi Melayu sudah sekian lama berpolemik antara seni untuk seni atau seni untuk masyarakat. Mutu dan nilai seni yang dipiawaikan kepada kedua-dua kelas ini tidak perlulah dinyatakan lagi. Sudah terang lagi bersuluh.

Jesteru, industri cetakan buku-buku puisi harus diimbangi dengan aktiviti apresiasi dan bedah karya yang berterusan. Penyair juga harus menerbitkan karya sendiri bukan semata mengharapkan undangan atau usaha sama penerbitan anotologi. Bagi generasi penyair muda yang baru barangkali wajar tetapi kewajaran ini harus diberikan kesinambungan melalui projek buku. Pelestarian karya-karya mega yang bakal dimegahkan generasi akan datang bertitik tolak dari sekarang. Karya yang megah mungkin sinonim dengan karya musiman yang sifatnya tidak abadi. Begitu karya-karya ini lahir dengan sengaja mengikut keperluan, penyairnya juga lahir mendadak. Apa yang diinginkan bukan nilai estetika tetapi mesej yang langsung membara semangat yang sementara juga bentuknya. Sudah pasti bukan puisi-puisi begini yang diperlukan sebagai benteng jati diri penyair dan puisi-puisi Melayu.

Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com