Kabur yang luhur



ADA waktunya kita ingin lari daripada pelbagai kemelut di sekitar untuk bersendirian; mencari jarak dan tidak terlibat dalam persoalan yang rumit; persoalan yang tak mungkin diselesaikan secara mudah oleh kita sendiri. Dan dalam diri kita itu menunggu sekian banyak kerinduan, kerinduan yang mendamba perasaan, yang menunggu pengucapan; menunggu bahasa kita sendiri menyuarakannya. Apakah ia dinamakan kesenian, keindahan, puisi atau hanya sebuah catatan biasa, terserahlah istilah apa yang hendak kita gunakan. Penulis, pengarca, pelukis, pemuzik, eseis, malah penari pun selalu merindukan kesendirian itu sebagai yang paling berharga, iaitu untuk mendengar bisikan hati kita sendiri di tengah-tengah kesibukan dunia.

Sayangnya kata-kata yang tersusun, walaupun menjadi bahasa pengucapan, tak mungkin pula mengungkapkan kerinduan dan keindahan itu, kerana kata-kata begitu ia menjadi sebuah teks, ia adalah suatu realiti yang lain. Kata-kata pun bergantung maknanya dengan merujuk kepada kata-kata lain, dan bukan kepada realiti dalaman yang dilambangkannya. Teks puisi dan realiti adalah dua kewujudan yang berbeza, dan pengarang terpaksa membebaskannya untuk ditanggapi pembaca dalam acuan persepsi dan tafsirannya yang merdeka.

Puisi secara definisi mudahnya merupakan satu entiti bahasa perasaan yang terungkap pada darjat bahasa yang paling tinggi. Di dalamnya tergumpal limpahan perasaan yang diungkapkan melalui bait-bait kata yang mulus. Puisi yang lahir dari jiwa dan disuburkan oleh perasaan akan mengalir ke dalam jiwa masyarakatnya bagai air jernih di kolam.

Seperti takrifan William Wordsworth: "Puisi bersumber daripada limpahan perasaan yang kuat secara tiba-tiba. Bersamanya ada rentak, ada kata, dan ada perasaan yang dihubungkaitkan melalui bahasa yang dalam lagi pukal.''

Sebenarnya, puisi harus ditentukan oleh sifat-sifat dan bentuk yang berautonomi. Puisi yang memerlukan masa untuk difahami lazimnya akan bertahan lebih lama kerana bersandarkan nilai perasaan dan intelek penciptanya. Lambat-laun ia akan berupaya menjadi puisi yang bermutu dan berkesan.

Percaya dan yakinlah, betapa sekalipun ringkas sesebuah puisi itu, ia tetap memiliki roh tersendiri. Bersamanya terpancar aura minda dan arca keintelektualan penciptanya yang memacu bahasa sebagai medium perantaraan antara karya dengan masyarakatnya.

Justeru, sekalipun bahasa yang digunakan oleh pemuisi agak sukar difahami, kita tidak harus terlalu mudah meletakkan puisinya sebagai tidak jelas apatah lagi sebagai karya yang kabur. Bukankah daya sensitiviti setiap individu itu berbeza?
Inilah sebahagian tragedi yang pernah menimpa sebahagian daripada para penyair yang berani berkarya melampaui batas klise dan retorik puisi konvensional. Antara mereka yang pernah dilabelkan karya mereka sebagai kabur ialah A.S. Amin, Noor S.I dan M. Ghazali (sekadar menyebut beberapa nama). Mereka pernah diasingkan sebagai golongan yang tidak diberi pengiktirafan dalam konteks seni karya untuk masyarakat. Karya-karya mereka pantas digolongkan kepada sajak kabur dengan tafsiran yang tidak memihak kepada gaya ciptaan seperti itu dalam dunia puisi Melayu.

Pokok pangkalnya, puisi mana yang tidak kabur? Bila sahaja penyair menggunakan metafora dalam karya-karyanya, dengan sendirinya ia dikaburkan. Bahkan, jika dirujuk kepada istilah linguistik, sebarang ujaran yang memungkinkan dua tafsiran maksud sahaja, ia sudah dapat dikatakan 'ambiguous' atau kabur.

Sebetulnya, mudah atau sukarnya sesebuah puisi difahami masyarakat pembaca tidak sesekali wajar menjadi kayu ukur kepada mutu dan nilai seninya. Bukanlah ia sebuah puisi jika tidak menerapkan elemen-elemen simbol, imejan dan yang seumpamanya sebagai metafora serta gayabahasa lain yang relevan.

Kalau di benua Eropah, misalnya, puisi-puisi yang kabur seperti 'The Television' oleh Anne Stevenson, misalnya, telah diiktiraf sebagai sebuah puisi contoh yang cemerlang. Dengan bahasa yang luwes, dia berpuisi:

Hug me, mother of noise,
Find me a hiding place,
I am afraid of my voice,
I do not like my face.

Ajaibnya, para sarjana kesusasteraan mereka sekali-kali tidak melihat kekaburan sebagai kecapekan dalam berkarya. Sebaliknya mereka menyifatkannya sebagai cabaran bagi menguji tahap kebestarian mereka dalam memahami kamus makna puisi dan gedung minda penciptanya. Aduhai, berbezanya kita!

Tanyalah kepada penyair mana sekalipun, sesungguhnya bukanlah sesuatu yang mudah untuk berkarya. Puisi pada konteks pra pengkaryaan yang paling mudah bermula daripada komunikasi intrapersonal (dalaman) seorang penyair yang kemudiannya digarap dan dipersembahkan kepada masyarakatnya melalui saluran interpersonal.

Akhirnya, apakah kita telah berani menentukan mana-mana karya yang sukar difahami sebagai kabur atau sesungguhnya itulah karya yang luhur yang lahir daripada fikiran para penyair? Bahang kerinduan pun terus bersemi dalam bahasa biasanya walaupun jarang ditanggapi dengan pengalaman bahasa yang serupa.

Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com