Percakapan Tentang Tema



SESETENGAH penyair tidak pernah memikirkan soal tema apabila dia sedang menulis puisi. Emosinya sewaktu berkarya menjurus kepada amanat atau mesej yang sedang dia fikirkan. Kreativitinya berkembang seiring bersama berkembangnya diksi-diksi indah yang membangunkan karyanya.

Tanpa disedari sebenarnya tema merupakan sesuatu yang menjadi fikiran pengarang. Menurut Waluyo (2003:17) tema adalah gagasan  atau subjek pokok  yang dikemukakan penyair melalui puisinya. Semua karya terkhusus karya sastera pasti memiliki tema yang merupakan pokok permasalahan yang diangkat dalam menulis karya sastera itu.

Soalnya bilakah tema itu ditemui? Penyair mempunyai pilihan kerana puisi kelihatan amat mudah berbanding genre sastera yang lain. Sebagaimana menulis cerita pendek yang lazimnya mempunyai unsur satu tema, begitulah halnya puisi, tidak mungkin berbaur campur dengan pelbagai tema. Apa yang penting apabila penyair ingin menyampaikan amanatnya ia berpegang pada satu paksi atau fokus sebagai jalur perjalanan kreatifnya.

Demikian halnya apabila penyair menyusun puisi-puisi menjadi sebuah buku kumpulan puisi persendiriannya. Penyair yang cenderung kepada kepelbagaian tema agak sulit untuk menentukan satu tema khusus dalam bukunya itu. Ini terjadi apabila dia tidak siap untuk menulis secara khas sebuah buku puisi tetapi memasuk-rojakkan semua atau sebahagian karya yang pernah disiarkan di media massa sebelum ini. Selain pelbagai tema, ketidak tepatan pemilihan judul juga akhirnya menjebak buku puisi seperti ini sebagai karya semberono kerana judul yang dipilih tidak menggambarkan intipati tema sebenar kelahiran buku berkenaan. Tanpa menyebut judul buku-buku puisi yang dimaksudkan, saya sering menemui  buku puisi seperti ini dan malah saya mengakui pernah melakukan kesilapan itu.

Kita boleh ikuti puisi-puisi tematik berdasarkan sesuatu peristiwa. Ini kelaziman pilihan ramai penyair. Contohnya pada bulan Ramadan, pembaca akan menemui puisi-puisi Islam bertemakan Ramadan di media-media massa. Semasa bencana Tsunami melanda Aceh pada tahun 2005 begitu banyak puisi mengenainya ditulis penyair. Tidak dinafikan terdapat penyair yang menulis hanya berdasarkan tema, misalnya diundang menghasilkan puisi bertemakan Hari Kemerdekaan atau berkaitan dengan tema keagamaan. Selain daripada itu dia tidak menulis puisi kecuali diminta untuk menulis. Penyair jenis ini digelar penyair tempahan kerana dia ditempah untuk menulis mengikut peristiwa dan tempoh tertentu di samping dijanjikan bayaran sagu hati tertentu. Apabila puisi-puisi tempahan ini dihasilkan amanat yang akan disampaikan oleh penyairnya mudah untuk difahami.

Perbezaan paling ketara antara menulis karya kreatif dengan bukan kreatif tentu sahaja bentuk penyampaian, laras bahasa atau gaya bahasa dan pemilihan diksi yang padat dan tepat. Puisi merupakan karya sastera yang memiliki struktur yang sangat kompleks yang terdiri daripada beberapa strata atau lapis norma. Masing-masing norma menimbulkan lapis norma di bawahnya, seperti dijelaskan oleh Rene Wellek. Lapis norma pertama adalah lapis bunyi (sound stratum). Bila orang membaca puisi, maka yang terdengar adalah serangkaian bunyi yang dibatasi jeda pendek, agak panjang, dan panjang. Lapis pertama yang berupa bunyi tersebut mendasari timbulnya lapis kedua, iaitu lapis makna (units of meaning), kerana bunyi-bunyi yang ada pada puisi bukanlah bunyi tanpa makna. Bunyi-bunyi itu disusun sedemikian rupa menjadi kesatuan kata, frasa, kalimat, dan bait yang menimbulkan makna yang dapat difahami oleh pembaca.

Puisi adalah salah satu bentuk karya sastera yang mengekspresikan secara padat pemikiran dan perasaan penyairnya, digubah dalam wujud dan bahasa yang paling berkesan. Pemikiran juga bersangkut dengan amanat samada yang bersifat intrinsik mahupun bersifat luaran.  Pada umumnya penyair mengungkapkan gagasan dalam kalimat yang relatif pendek-pendek serta padat, ditulis berderet-deret ke bawah (dalam bentuk bait-bait), dan tidak jarang menggunakan kata-kata atau bahkan kalimat yang bersifat konotatif. Ini juga suatu pilihan dalam kalangan penyair itu sendiri.

Ketika ingin menentukan tema, penyair yang tegar tentu memahami bahawa struktur dan ragam puisi sebagai hasil karya kreatif terus-menerus berubah. Hal ini nampak apabila kita mengkaji ciri-ciri puisi pada zaman tertentu yang ternyata berbeza dari kekhasan puisi pada zaman yang lain. Di masa lampau misalnya, penciptaan puisi harus memenuhi ketentuan jumlah baris, ketentuan rima dan persyaratan lain. Itulah sebabnya pendeta Za'ba mendefinisikan puisi sebagai karangan berangkap. Definisi tersebut tentu saja tidak tepat lagi untuk masa sekarang kerana saat ini penyair sudah lebih bebas dan tidak harus tunduk pada persyaratan-persyaratan tertentu. Hal ini mengakibatkan pembaca tidak dapat lagi membezakan antara puisi dengan prosa hanya dengan melihat bentuk visualnya. 

Kerana itu, bukanlah terlalu sulit untuk penyair menentukan apakah tema pilihannya sebagai satu kecenderungan menulis puisi. Penyair yang siap merupakan penyair yang telah terjana berpaksikan satu tujuan, satu matlamat dan satu amanat. Mungkin kenyataan ini tidak enak kepada segelintir penyair yang mampu bersikap apa saja tema baginya bukan masalah besar dan menjadi kesalahan. Saya berpendapat memilih satu tema yang jelas menjadi salah satu persyaratan penyair berkaitan diberikan biliknya sendiri. Mahu percaya mari sebutkan siapakah penyair sufi di Singapura misalnya, dengan cepat akan mengaitkan penyair Johar Buang. Di Malaysia, sudah tentu kita boleh menyebut nama-nama seperti Kemala, Shafie Abu Bakar, Ariffin Arif dan Shuhaimi Haji Muhammad.  Siapakah penyair rakyat di Indonesia, pasti akan ada yang menyebut W.S.Rendra atau yang sufi pada karya-karya Kuntowijoyo. Pilihan tema mereka itulah bilik mereka dalam rumah sastera yang mereka bina.

Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com