MEMBINA PENULIS KREATIF

BARU-BARU ini saya dilibatkan dalam program bicara karya yang dinamakan SUNTIK di Sudut Penulis Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Dalam program ini saya diberikan peranan memilih sebuah puisi terbaik dan sebuah puisi yang perlu suntikan. Karya-karya yang dimaksudkan ini merupakan puisi-puisi yang pernah disiarkan di media massa tempatan sepanjang bulan Julai 2017.

Ketika membaca, sebanyak 30 buah karya puisi yang disiarkan, saya dapati banyak sekali yang memerlukan pemantapan. Penulis-penulis yang terlibat ini termasuk mereka yang mapan seperti Mahmud Jahar, Sabahuddin Senin dan Kembara Muda. Kedudukan mereka sebagai penulis yang mapan memang tidak kita ragui. Saya tidak menghadapi masalah dengan puisi mereka. Terdapat juga penulis yang memang sentiasa mengisi ruang sastera di surat-surat khabar tempatan misalnya R.Disma, Slem Maribin, Hanafiah MZ, Nor Aisyah Maidin dan Ramlie Jalimin Jainin. Nama-nama ini disusuli dengan penulis-penulis baharu antaranya Gabriel Kimjuan, Norima Zain, Umairah Aisyah, Darmata Haji Matlan, Chacho Mohama dan Rozeline Vitalis

Saya memilih karya Nor Aisyah Maidin berjudul ‘Terbanglah’ yang tersiar di Utusan Borneo disebabkan beberapa hal; antaranya kejayaannya memilih tema yang baik, pemilihan diksi yang mempesona dan segar di samping keindahan gayabahasa yang bernas. Berdasarkan ukur tara sebuah puisi yang baik saya fikir Nor Aisyah berjaya menggunakan tipologi puisi yang indah berbanding puisi-puisi yang lain. Bentuk lirik yang dipilihnya juga turut digunakan oleh Ramlie Jalimin Jainin. Namun kesatuan diksi dalam puisinya memerlukan pemerhatian lebih lanjut. Maknanya perlunya pembacaan lebih daripada sekali sehingga kesatuan diksi yang saya maksudkan memikat naluri pembaca. Saya juga mengamati karya-karya Chacho Mohama. Chacho bukanlah penulis muda tetap penulis baharu yang matang kerana usianya. Mengingatkan nama ini saya fikir puisi-puisi beliau yang terdapat dalam Antologi Puisi - Kepimpinan Musa Aman dalam Puisi” lebih bertenaga. Saya mencadangkan supaya Chacho (bahkan penulis-penulis yang lain juga) mengelakkan puisi yang terlalu pendek. Puisi pendek dibolehkan sekiranya kesepaduan puisi itu wajar.

Daripada pengamatan terhadap puisi-puisi sepanjang bulan Julai tersebut, sukalah saya nyatakan bahawa para penulis perlu banyak membaca karya-karya para penulis tersohor. Mereka perlu juga berguru dan rajin bertanya kepada yang mahir dalam genre ini. Saya perhatikan ramai penulis yang disebutkan menulis di media sosial namun kekerapan menyiarkan puisi sedemikian belum menjamin karya menjadi lebih baik tanpa suntikan tertentu. Para penulis perlu berani berinteraksi dengan tokoh-tokoh tertentu. Begitu mereka berani mencipta gayabahasa, keberanian juga dituntut ketika berhadapan dengan rakan-rakan yang melakukan teguran atau apabila kritikan dilakukan oleh pembicara yang kritis.

Ketika memberikan pandangan terhadap puisi-puisi yang
disiarkan di media massa di Sabah melalui program
S U N T I K.
Selain banyak membaca dan kerap berinteraksi dengan rakan-rakan penulis, program penataran atau bimbingan penulis juga antara langkah terbaik membina kreativiti penulis. Program bimbingan atau bengkel penulisan sering dianggap sebagai salah satu elemen penting dalam pemantapan karya. Meski pun terdapat penulis yang tidak pernah menyertai sebarang bengkel penulisan tetapi masih mampu menghasilkan karya yang baik. Sebaliknya, individu yang kerap menyertai bengkel penulisan pula ada yang langsung tidak menunjukkan karya mereka. Ini dapat dibuktikan kerana bilangan bakal penulis itu lebih ramai berbanding jumlah karya sastera yang dihasilkan. Dalam erti kata yang lain, aktiviti berbengkel tidak lebih sebagai pertemuan dalam kalangan rakan-rakan atau berkenalan dengan pembimbing. Padahal pengertian bengkel sendiri membawa maksud aktiviti penambahbaikan karya di mana setiap peserta wajib membawa karya yang sudah siap. Dalam keadaan  di mana karya berkenaan memerlukan penambaikan, sepatutnya peserta yang pernah atau mempunyai karya sahaja perlu menghadiri mana-mana bengkel yang dianjurkan. Bagaimanapun, setiap penulis atau sesiapa juga yang meminatinya mempunyai pilihan masing-masing terutama sekali bagi bengkel-bengkel penulisan yang berbayar.

Novelis terkenal, Azmah Nordin hanya sekali bengkel penulisan novel yang disertainya tetapi berjaya menghasilkan puluhan novel dan ratusan cerpen sehingga puncaknya beliau merupakan salah seorang pengarang yang meraih kecemerlangan termasuklah menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara atau SEA Write Award 2009. Sasterawan yang dijolok sebagai pengamal feminis ini turut membimbing ramai penulis khususnya dalam genre novel dan cerpen. Jasni Matlani, penerima SEA Write Award 2015 juga turut membuka ruang kepada para penulis baharu dan malah yang mapan mendalami dunia penulisan baik novel mahupun cerpen. Beliau banya mengadakan bengkel-bengkel penulisan kreatif. Malah terlibat dalam program-program sastera di luar negara. Selain Azmah dan Jasni, seorang lagi penulis yang berjaya iaitu Ruhaini Matdarin juga sering berkongsi ilmu penulisan. Di Sabah kita tidak kekurangan pakar sastera kreatif, tinggal para penulis sendiri melakukan pilihan mereka.

Seorang lagi penerima SEA Write Award 1992, Allahyarham Amil Jaya pernah membimbing beberapa orang penulis yang diadakannya pada waktu malam di pejabatnya sehingga dapat menyiapkan beberapa buah novel di bawah bimbingannya. Salah seorang penulis yang berjaya diasuhnya ialah Hajah Asmiah Haji Ajamain. Konsep ini pernah juga dilakukan oleh Dr.Ramli Isin. Selain membimbing dalam bentuk kuliah beliau akan memeriksa karya yang dihasilkan termasuk yang pernah tersiar di media. Beliau menegur dan memberikan tunjuk ajar secara empat mata kepada peserta. Ketika itulah beliau sebagai pembimbing mengenali pesertanya secara dekat, mengetahui proses penulisan peserta dan pada masa yang sama memberikan input atau masukan ilmu penulisan kepada pesertanya. Ramai tokoh sasterawan tanah air mengasuh penulis-penulis Sabah sama ada di bawah anjuran DBP Cawangan Sabah atau persatuan-persatuan penulis. Antaranya Allahyarham Dr. Othman Puteh, Allahyarham Ali Majod dan A.Rahim Abdullah. Sejak program Minggu Penulis Remaja ditiadakan dan Dr.Othman Puteh kembali ke rahmatullah, kebangkitan penulis-penulis muda semakin tumpul dan perlahan. Buku-buku sastera juga tidak banyak diterbitkan. Sehinggalah terjadinya suatu kebangkitan baharu atau ledakan penerbitan yang luar biasa pada 2012 apabila Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) mengorak langkah drastik. Penulis-penulis Sabah bangkit!

Peranan DBP Cawangan Sabah dalam membina para penulis kreatif juga tidak harus dipandang ringan. Meskipun pada masa ini agensi tersebut membekukan penerbitan beberapa genre sastera, namun usaha yang telah dilakukan seperti bengkel pembinaan judul dan perolehan manuskrip novel serta cerpen amat membantu. Kita terpaksa mengakuri gerakan sastera khususnya bidang penerbitan agak terbatas atas kekangan kewangan. Namun para penulis perlu mencari punca yang lain agar gerakan sastera tidak semata-mata mengharapkan dana pihak Kerajaan. Para penulis yang mampu hendaklah mencari pilihan yang lain misalnya menerbitkan sendiri manuskrip mereka. Ini bermakna para penulis perlu mengeluarkan dana dari poket mereka. Jika tidak, manuskrip yang baik apabila tidak sampai kepada khalayak pembaca, dunia sastera akan tenggelam.

Program bimbingan penulisan kreatif di mana-mana juga memang menjadi agenda penting untuk membina dan melahirkan penulis-penulis baharu. Mereka yang berbakat akan digilap dari semasa ke semasa. Penganjur perlu sekali mencari bakat-bakat muda ini khususnya mereka yang benar-benar komited mendapatkan pembimbing yang berwibawa. Apapun juga bunyinya, para penulis yang menggunakan peluang menyertai program-program bimbingan penulisan perlu menjana kreativiti mereka seperkasa mungkin. Dengan begini, peluang untuk didedahkan kepada program yang lebih besar menjadi milik mereka, misalnya Program Penulisan Kreatif Mastera atau Program Penulisan Antarabangsa Iowa. Amerika Syarikat.

Pada sisi yang lain, para penulis perlu juga akur terhadap ukur tara dalam dunia penulisan khususnya karya kreatif. Catatan saya pada minggu lepas diharapkan boleh menjadi sebahagian daripada banyaknya ‘vaksin’ dalam suntikan memperkasa serta membugar para penulis. Penulis yang berwibawa sudah tentu akan menggunakan pengalaman dan pengetahuannya melahirkan karya yang berdaya tahan. Berdaya tahan sebagai rujukan generasi akan datang dan menjadi ‘master piece’ khazanah sastera kemudian hari.

Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com