MENELUSURI KEINDAHAN DALAM 'MAHAGAR' KARYA NORJANNAH M.A.

SABAH menjadi antara negeri-negeri di Malaysia yang melahirkan ramai penulis berbakat termasuk dalam kalangan wanita. Penulis-penulis seperti Suhani S., Zaiton Ajamain, Rubiah Nordin, Sairah Haji Antin, Dayang Aminah Ali, Salbia Mahmud disusuli oleh Mariam Omar, Siti Rahmah G Ibrahim, Anas Ansayu Ogos, Obasiah Haji Osman, Siti Hadiah Abdul Mutalib seterusnya nama-nama seperti Ruhaini Matdarin, Faridah Abdul Hamid, Pena Alam, Ony Latifah Osman, Sahara Jais, Ramlah Abd Rashid, Dayangku Masturah Pengiran Ismail, Kathirina Susanna Tati, Norjanna M.A, Jaliha Jaman dan ramai lagi. Dalam genre puisi sebahagian nama-nama besar telah disebutkan. Daripada nama-nama itu,  Suhaini S atau nama sebenarnya Datuk Hajah Noraini Datuk Salleh, Zaiton Ajamain dan Sairah Haji Antin merupakan penerima anugerah Tokoh Penyair Islam Sabah. Anugerah ini adalah sebuah penghargaan yang dikhususkan kepada para penulis beragama Islam yang telah mencapai satu tahap kecemerlangan dalam bidang penulisan di negeri Sabah. Lebih daripada itu kecemerlangan paling berprestij yang pernah diraih oleh penulis wanita di Sabah ialah melalui anugerah SEA Write Award yang diterima oleh novelis terkenal Azmah Nordin.

Dalam perkembangan penulisan kreatif di Sabah, jumlah para penulis sentiasa bertambah termasuklah dalam genre puisi. Dari segi gender, penulis wanita menjadi pesaing yang luar biasa dengan penulis lelaki terutama sekali novel dan cerpen. Namun bagi puisi, golongan hawa ini masih jauh ke belakang apabila diambil kira dari segi penerbitan buku dan bahkan karya-karya eceran di media arus perdana. Berbanding novel, hanya sebilangan kecil penulis-penulis yang berwibawa mengambil inisiatif mengumpulkan karya-karya mereka untuk diterbitkan sebagai karya buku persendirian. Buku-buku yang telah diterbitkan misalnya karya Zaiton Ajamian berjudul 'Bagai Layang-Layang' pada tahun 1991, Kumpulan Puisi 'Pelayaran' karya Rubiah Nordin, Kumpulan Puisi 'Bisikan Nurani' karya Dayang Salmah Salam, Kumpulan Puisi 'Perahu' karya Ramlah Abd Rashid dan Kumpulan Puisi 'Mahagar' karya Norjannah Mohd Adnan.

Dari segi penghasilan buku-buku puisi persendirian di Sabah, kelahiran Mahagar dan Perahu dianggap sebagai satu fenomena ledakan dunia penerbitan yang luar biasa di Malaysia. Namun kedua-dua buku agak berbeza disebabkan Perahu merupakan hasil peraduan penulisan anjuran Institut Terjemahan dan Buku Malaysia pada tahun 2013 sedangkan Mahagar lahir atas inisiatif penulisnya apabila ITBM diberikan mandat menerbitkan buku-buku sastera oleh Kerajaan Malaysia. Kebangkitan para penulis begitu terserlah apabila dalam tempoh dua tahun di mana para penulis Sabah juga ikut sama-sama mengambil peluang ini.

Dalam tulisan ini, Mahagar akan diberikan tumpuan. Pengarangnya, Norjannah M.A bukanlah seorang penulis baharu lahir kerana beliau telah menceburkan dirinya  dalam bidang penulisan sejak 1989 tetapi terhenti pada tahun 1991 apabila berhijrah  dari Sabah ke Pulau Pinang. Beliau aktif semula menulis pada tahun 2010 seterusnya melahirkan sebuah buku puisi pertamanya, Setia Mengalir. Setia Mengalir diterbitkan oleh Persatuan Penulis Wilayah Persekutuan Labuan (PERWILA) pada 2011. Di peringkat awal, Norjannah cenderung menghasilkan cerpen. Menurut catatan Zaiton Ajamain yang memperkatakan Setia Mengalir, sungguhpun bidang penulisan cerpen memberikan ruang yang cukup luas untuk mengongsikan segala cerakinan dan cerapan pemerhatian serta pemikiran berbending genre puisi yang bergantung besar kepada pengungkapan segala rasa melalui pemilihan kata atau ungkapan yang amat terbatas, akhirnya Norjannah memilih genre puisi.

Dalam Mahagar, yang mengandungi 49 buah puisi, ini mengekalkan pendekatan Norjannah menggarap persoalan-persoalan diri, merakamkan kasih akan Maha Pencipta dan rakaman episod-episod kehidupan yang dilaluinya. Semasa menerima buku kecil daripada penulis yang berasal dari Kampung Batangan Tuaran ini, kata pertama yang menjadi persoalan ialah makna 'mahagar' itu sendiri. Ternyata kata 'mahagar' tidak terdapat dalam Kamus Dewan atau mana-mana kamus yang dirujuk. Pada blurb buku ini memberikan jawapan bahawa Mahagar ialah sebuah nama, rasa kasih yang mengikat dan rasa bersalah yang menjelma. Mahagar adalah nama adik bongsu pengarang.

Kepengarangan Norjannah M.A. keseluruhannya tertumpu kepada aspek keTuhanan. Meskipun secara organiknya, beliau telah mengadaptasi rentetan kehidupan diri dan pengalamannya dalam dunia yang teradun bersama-samanya persoalan kemasyarakatan, cinta dan kasih sayang. Norjannah M.A telah melalui jerih perih kehidupan di negeri orang begitu lama. Beliau intim dengan dirinya sendiri. Dalam situasi ini Norjannah M.A harus memiliki kekuatan atau jati diri yang luar biasa. Sebuah catatan penting pernah ditulisnya dalam buku Setia Mengalir: saya sering mengingati pesan ibu saya, Surip Salmi Balanting. Katanya, sayangi orang-orang yang ada di keliling kamu, biarpun mereka akan menyakiti kamu dan kamu harus selalu sabar kerana Tuhan sayang orang-orang yang sabar. Kata-kata ibu saya banyak mengajar saya untuk menghargai makna sebuah kasih sayang kasih sayang mengajar saya bermuhasabah, mengenal diri dan mengenal Tuhan.

Pelbagai cabaran diharunginya, Norjannah memberikan jawapan:

'Dalam ujian-Nya aku sudah siap
di setiap gelanggang
aku harus tenang
sabah dan tabah
dan yang penting
aku harus lebih bijaksana
mengemaskan sebuah kapal
sebelum meneruskan pelayaran'
('Inilah Jawapan', m.s 4)

Seputar menelusuri rahsia kehidupan tanpa disedari kita sebenarnya sedang menyembunyikan suara yang amat mendekam di dalam fikiran. Sesuatu yang tidak mungkin mampu dibongkar dalam keadaan yang biasa namun demikian diksi sebagai kalimah puitis sentiasa mewarnai episod demi episod pencitraan. Di situ moral perkisahan batiniah dipelihara. Persetiaan sebagai insan yang lembut tetapi tabah mengakari ciptarasa seorang penulis. Sebagai wanita yang hebat dan menjadikan suara ibunya sebagai ikon dalam mengharungi ujana perjalanan hidup, Norjannah M.A tidak pernah gentar meneroka cabaran hidup. Kata kunci sebagai pegangannya iaitu kembali kepada yang Haq. 'Cinta Sempurna', suara jiwanya berkata:

Saat pintu hijrah mengetuk diri
dalam lindungan rahmat-Nya
percikan dari Nur hikmat-Mu
melalui musim-musim luka
menongkah arus takdir-Mu
sabar dalam duga yang mencabar
mengembalikan iman menyeberangi takwa
(Cinta Sempurna, m.s. 3)

Insan yang sensitif terhadap perjalanan kehidupan yang penuh dengan pelbagai rahsia, sentimen dan nilai sentiasa akan menghargai masa lalunya. Sesetengah individu tidak ingin mengingati kembali peristiwa yang lalu. Sebuah sentimen akan melabuhkan tanggapan yang mungkin di luar dugaan biasanya wujud pandangan yang negatif. Sedangkan kehidupan yang dianugerahi Allah s.w.t merupakan sesuatu yang harus dinikmati dengan positif. Natijahnya, persengketaan tidak pernah kunjung selesai. Norjannah M.A menulis bahawa 'syurga bukan lagi pilihan, falsafah diri menjadi pertikaian' (Persengketaan, m.s. 16).

Kesedaran sebagai penulis Muslimah yang penuh dengan susila dan adab, Mahagar antara karya yang wajar diberikan perhatian. Walaupun, Norjannah M.A merupakan seorang mualaf seluruh jiwanya tumpah ke arah adabiah seorang Muslimah sejati. Jiwa seperti ini harus berada di dalam setiap diri penulis. Sifat persuratan dalam Islam, seperti ditegaskan oleh Prof. Ismail Al-Faruqi, rahimahullah, 'gabungan isi kandungan yang luhur dengan bentuk yang luhur' diisyaratkan dalam al-Quran seperti berikut:

Tidakkah kamu perhatikan bagaimana Allah telah membuat perumpamaan kalimat yang baik seperti pohon yang baik, akarnya teguh dan cabangnya (menjulang) ke langit, pohon itu memberikan buahnya pada setiap musim dengan seizin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan itu untuk manusia supaya mereka selalu ingat. Dan perumpamaan  kalimat yang buruk seperti pohon yang buruk, yang telah dicabut dengan akar-akarnya dari permukaan bumi; tidak dapat (tegak) sedikit pun. Allah             meneguhkan (iman) orang-orang yang beriman dengan ucapan yang teguh itu dalam kehidupan di dunia dan di akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang zalim dan memperbuat apa yang Dia kehendaki. (14: 24-27)

Kesusasteraan yang demikian sifatnya, menurut Mohd Affandi Hassan, hanya dapat dilahirkan oleh para penulis yang beradab, yang beriman, yang mengerjakan amal salih. Al-Quran mengutuk penulis (penyair) yang berbohong, munafik, yang bermain dengan mata-kata tanpa tujuan yang baik dan pendirian yang benar.

Dalam Mahagar, pengarang mengutus perasaan cintanya secara beradab, misalnya dalam'Sajak kepada Awan Indah':

Kupinjam bahasamu awan indah
kerana aku merindumu
pada alur liku diksi puisimu
adalah roh akrab menyatu
menyeberangi rindu
bicara tentang Mahizatul Hasanah
tentang nafsu mutmainah
terapung di ujana kalbu
menterjemah makna ratib qasidah
memelihara sinar agar tak lebur dek cahaya

(Sajak kepada Awan Indah, m.s. 51)

Sebelum itu, melalui puisi 'Si Baju Merah di Negeri Rembulan', pengarang meceritakan kerinduannya. Impian sebuah pertemuan yang tertangguh diungkapkan melalui objek 'baju merah' yang menggambarkan sebuah rindu yang berkobar sedang 'di Negeri Rembulan' menyatakan hasrat yang bertarung dalam kesamaran. Norjannah M.A merakamkan isi hatinya,

mengucap salam menyapa Jannah
zikir kasih tidak bernoktah
istikharah rindu membius ke jiwa kejora
si baju merah dengarkan suara hati
bersatukan cinta di negeri rembulan?
tak rekah wajah si baju merah
semakin merimbun pohon hijau
bernyawa cinta
meski ada mega menguji langkah
keberangkatan kejora
berlabuh di dermaga setia
mencunbu malam-malam
tahajudnya.

(Si Baju Merah di Negeri Rembulan, m.s. 18)

Kesinambungan terhadap puisi-puisi indah dalam Mahagar sebenarnya mempunyai pertalian antara satu dengan yang lain. Puisi 'Nyawa Cinta' tidak terlepas daripada ikatan citraan cinta. Penciptaan puisi ini terlalu tinggi nilainya.

aku tidak membohongimu awan indah
semilir di Pulau Memutik atau cumbu bayu
di pesisir Kuala Tombol dan Pulau Manukan
aroma perkasihan saat ini adalah persetiaan
meski sesekali ada ribut yang telah terencana
menggerinjiskan doa munajat yang menghiasi
cahaya nafas mentari kita memasang sayap
terbang menyeberangi mendakap reda Ilahi
tak terungkap kata di saat aku mencari ...
(Nyawa Cinta, m.s. 74)

Mahagar mempersembahkan sebuah karya sastera kreatif yang kaya dengan unsur-unsur keindahan. Puisi harus indah. Tanpa unsur keindahan puisi tidak mungkin terbangun dalam kesatuan sebagai karya yang baik dibaca. Keindahan membentuk nilai yang membawa secara semula jadi ke arah memahami sesebuah karya. Sebagai sebuah karya kreatif, penyair melahirkan pemikirannya menerusi pembinaan kata-kata terpilih membentuk ungkapan-ungkapan dalam pelbagai jenis gaya bahasa. Penyair tidak perlu memaksa sesuatu idea atau gagasan pemikiran itu dilahirkan tanpa perenungan. Dengan renungan yang mendalam suatu kesan yang terbaik bakal dicerna.

Pengalaman atau peristiwa masa lalu dialami setiap insan. Keistimewaan merungkai semula peristiwa-peristiwa masa sudah boleh berlaku dalam kehidupan. Di dalam yang mengandungi kepelbagaian emosi seperti rasa rindu, sedih, gembira dan sebagainya. Gambaran peristiwa yang berbaur dalam keanekaragama suasana memberi impak tersendiri dalam mengungkapkan perasaan. Sikap terhadap pemikiran yang ingin dikongsikan lazimnya menceritakan tentang diri sebagai salah satu langkah pemaparan biografi dalam bentuk kreatif.

Aku akan ijab kabulkan bahasa kita
Sebagai hadiah buatmu

Apakah yang kita temukan dalam ungkapan-ungkapan di atas? Sebuah ungkapan yang amat selektif biasa tetapi indah.

berkurun lama kita tak pernah
mencari kata-kata yang paling baik
(Sajak Pengantin, m.s 46)

Konsep keindahan itu sendiri sangatlah abstrak, ia identik dengan kebenaran. Batas keindahan akan behenti pada pada sesuatu yang indah dan bukan pada keindahan itu sendiri. Keindahan mempunyai daya tarik yang  selalu bertambah,  sedangkan yang tidak ada unsur keindahannya tidak mempunyai daya tarik. Orang yang mempunyai konsep keindahan adalah orang yang mampu berimaginasi, rajin dan kreatif dalam menghubungkan benda satu dengan yang lainnya. Dengan kata lain imaginasi merupakan proses menghubungkan suatu benda dengan benda lainsebagai objek imaginasi. Demikian pula kata indah diterapkan untuk persatuan orang-orang yang beriman, para nabi, orang yang menghargai kebenaran dalam agama, kata dan perbuatan serta orang–orang yang saleh merupakan persahabatan yang paling indah.

Jadi keindahan mempunyai dimensi interaksi yang sangat luas baik hubungan manusia dengan benda, manusia dengan manusia, manusia dengan Tuhan, dan bagi orang itu sendiri yang melakukan interaksi.

Misalnya dalam puisi 'Akad Bahasa', keindahan yang telah dilakukan pengarang dengan memilih kosa kata yang luar biasa. Puisi bernada sinis ini ingin menyampaikan sikap sambalewa sesetengah orang terhadap sesuatu isu penting:

Masih keliru
bagai ayam putih terbang siang
ayam hitam terbang malam
air setitik dilautkan
tanah sekepal kaugunungkan

Rindumu
bagai air di daun keladi
bagai hujan jatuh ke pasir
bagai ikan terkena tuba
bagai kaduk naik junjung

Kau kembali
bagai tikus membaiki labu
Bagai diam ubi berisi
rumah siap
pahat masih berbunyi

Berhentilah
menjadi kekura
di atas dahan.
(Akad Bahasa, m.s. 53)

Pengungkapan keindahan dalam karya seni didasari oleh motivasi tertentu dan dengan tujuan tertentu pula. Motivasi itu dapat berupa pengalaman atau kenyataan mengenai penderitaan hidup manusia, mengenai kemerosotan moral, mengenai perubahan nilai-nilai dalam masyarakat, mengenai keagungan Tuhan, dan banyak lagi lainnya. Tujuannya tentu saja dilihat dari segi nilai kehidupan manusia, martabat manusia, kegunaan bagi manusia secara kudrati.

Dalam bidang puisi keindahan dan estetik dapat dikesan melalui keseimbangan bentuk luaran dan dalaman. Isinya juga mengalami transformasi ke arah pembaharuan nilai. Keindahannya, seimbang dalam nada, diksi, rima, ritma, matra suku kata, asonansi, simile, merupakan elemen-elemen penting khususnya dalam karya sastera khususnya puisi. Selain itu, ada nilai falsafah yang sederhana, kekuatan idea dan pemikiran serta kekuatan penguasaan bahasanya membawa dan memilih gaya baharu.

Menurut pandangan Dr. Sidi Gazalba, seni sebagai penjelmaan rasa keindahan umumnya, rasa keterharuan khususnya, untuk kesejahteraan hidup. Rasa ini disusun dan dinyatakan oleh fikiran sehingga ia menjadi bentuk yang dapat disalurkan dan dimiliki. Dalam pengertian "menciptakan bentuk-bentuk yang menyenangkan adalah tiap orang terlibat dengan kesenian dalam kehidupan sehari-hari".

Justeru, setiap karya yang dicipta mestilah meliputi keindahan dalaman isi, keindahan alam fizikal, keindahan fenomena, keindahan dalaman, keindahan luaran, keindahan mutlak dan keindahan rohani yang kesemuanya dapat diseimbangkan dalam karya yang dicipta.

Begitulah, sukar dan payah setiap pengkarya sastera menghasilkan karya yang baik disertai dengan nilai-nilai keindahan dan estetik yang unggul. Kekuatan bahasa dan keindahan pengarang menggunakan bahasa yang indah dan berkesan akal kekal dalam ingatan para pembaca yang akhirnya memberikan teladan yang baik kepada mereka.

Mahagar sudah tentu bukan sebuah karya yang selesai bagi Norjannah M.A kerana pengarang luar biasa ini mempunyai masa depan yang cemerlang dalam perpuisian tanah air. Pengarang ini yang turut menjadi antara pemerima Hadiah Sastera Sabah pada tahun 2014 percaya masa depan sastera kreatif memberikan ruang kepadanya menyatakan sikapnya terhadap perjalanan hidup. Beliau yang akrab dengan tema serta persoalan pertasdikan atau pentauhidan hamba-Nya sangat signifikan dalam sebahagian besar karya-karyanya. Kebijaksanaan Norjannah M.A bermain dengan kata-kata, memilih diksi yang sesuai memberikan kekuatan kepada semua karyanya dalam Mahagar.  Bagaimanapun terdapat kekurangan yang amat nyata dalam Mahagar iaitu ketiadaan penjelasan kosa kata-kosa kata bahasa Arab dalam bentuk glosari. Secara keseluruhan, Mahagar memberikan kepuasan nilai keindahan yang tersendiri yang boleh dipertanggungjawabkan. Kesimpulan yang sederhana ini diyakini memberi iltizam yang lebih tinggi agar Norjannah M.A mampu mempertingkatkan lagi tahap kepengarangannya sekali gus memartabatkan puisi sebagai genre yang disukai generasi masa kini.


BIBLIOGRAFI

Hamidah Abdul Hamid. (1995). Pengantar Estetik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mohd Affandi Hassan. (1992). Pendidikan Estetika Daripada Pendekatan Tauhid. Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Norjannah M.A. (2011). Setia Mengalir. Wilayah Persekutuan Labuan. PERWILA.

____________ (2013). Mahagar. Kuala Lumpur. Institut Terjemahan dan Buku Malaysia.

Suwardi Endraswara. (2002). Metodologi Penelitian Sastra Epistemologi, Model, Teori dan Aplikasi. Jakarta. CAPS.

Ekokritik Sebuah Disiplin Sastera

APABILA mengaitkan dengan hijau dalam penghasilan karya sastera saya suka mengatakannya sebagai sastera hijau. Sastera ini menarik, ia bagaimanapun bukan fenomena yang baharu. Bahkan telah menjadi pilihan segelintir penyair dalam pengungkapan sastera mereka. Malah, sejak awal lagi alam telah menjadi bahagian dalam sastera. Ini terbukti dengan tidak sedikitnya sasterawan, khususnya dalam kalangan penyair, yang menggunakan diksi hutan, laut, pohon dan flora dalam karya mereka. Namun seiring dengan perkembangan, sastera telah banyak mengalami perubahan, begitu juga alam. Kedua elemen yang tidak terpisahkan ini seakan selalu berjalan beriringan. Sastera tempo dahulu adalah wajah alam masa lalu dan sastera sekarang adalah wajah alam masa kini. Sastera mengkehendakkan alam sebagai inspirasinya, sedang alam mengkehendakkan sastera sebagai alat konservasinya.

Dalam kritikan, sastera jenis ini boleh dibitarakan melalui 'ecocriticsme' atau metodologi ekokritik. Di Malaysia Dharmawijaya menghasilkan buku 'Warna Maya' turut mengetengahkan unsur-unsur alam, penyair-penyair Sabah tidak ketinggalan melakar karya mereka daripada aspek alam ekologi misalnya Allahyarham Jair Sulai yang menulis puisi-puisi berkaitan dalam  bukunya 'Sungai Hayat' (DBP, 2004), manakala Abdul Rahim Tapah dan Arifin Arif melalui 'Tergantung pada Kata' (DBP, 1996). Di Indonesia, kita tentu tidak asing dengan 'Hujan Bulan Juni' karya romantis Dr. Sapardi Joko Damono. (Sekadar menyebut beberapa contoh).

Cheryll Glotfelty dan Harold Fromm (1996) bertanggungjawab mengetengahkan gagasan ekokritik ini melalui eseinya yang berjudul “The Ecocriticism Reader: Landmarks in Literary Ecology“. Melalui eseinya itu mereka mengaplikasikan konsep ekologi ke dalam sastera, di mana pendekatan dilakukan dengan menjadikan bumi (alam) sebagai pusat kajiannya. Ekokritik sendiri secara sederhana dapat didefinisikan sebagai sebuah penyelidikan tentang hubungan antara sastera dan lingkungan hidup (Glotfelty, 1996).

Lalu apa sebenarnya urgensi ekokritik dalam kajian sastera? Untuk hal ini, ekokritik mempertanyakan: Bagaimana alam direpresentasikan dalam sebuah puisi? Apa peranan lingkungan hidup dalam plot sebuah novel atau cerpen? Apakah nilai-nilai yang diekspresikan dalam suatu drama sesuai dengan kearifan ekologi? Dengan cara apa sastera berpengaruh pada hubungan antara manusia dan alam?

Sebagai sebuah konsep, ekokritik muncul ke permukaan pada tahun 1970-an dalam sebuah konverensi WLA (The Western Literature Asscociation). Melalui eseinya yang berjudul “What is Ecocriticism?”, Michael P. Branch menelusuri istilah 'ecocriticism' yang ternyata pertama kali digunakan olah William Rueckert (1978) dalam eseinya “Literature and Ecology: An Experiment in Ecocriticism”. Menurut Branch, istilah ekokritik dan ekologi ini menjadi sangat dominan menjelang WLA, yang kembali dilaksanakan pada tahun 1989. Dan ketika itu, Glotfelty mendesakan istilah ekokritik untuk digunakan sebagai kritik yang sebelumnya telah dikenal sebagai 'the study of nature writing'.

Selain itu, sebuah teori sastera pada umumnya meneliti hubungan antara penulis, teks dan dunia dalam pengertian lingkungan sosial. Jika kita setuju dengan pendapat hukum ekologinya Barry Commoner bahawa segala sesuatu terhubung satu sama lain, maka dapat dipastikan bahawa sastera bukanlah sesuatu yang `mengapung` di atas dunia materi saja. Ia juga berperanan sebagai bahagian dari sistem global yang kompleks di mana kemampatan, persoalan dan idea-idea saling berinteraksi (Glotfelty, 1996). Hal senada diungkapkan oleh Kate Soper bahawa bukan bahasa sahaja yang memliki sebuah lubang dalam lapisan ozonnya. Maksudnya adalah bahawa bahasa yang sebagaimana tampak sebagai `teks` dalam sebuah `wacana` tidak melulu memandang dunia luar secara sosial dan linguistik terstruktur. Bagi para pengekokritik, alam itu benar-benar ada, eksis, melebihi manusia.

Menimbang hijau dalam karya sastera, tiga penulis Amerika abad ke-19 telah menjadi bahagian penting dalam pengukuhan ekokritisisme yang berkembang di Amerika. Penulis itu adalah Ralph Waldo Emerson (1803-1882) dengan karyanya “Nature”, Margeret Fuller (1810-1850) dengan “Summer on the Lakes, During 1843 “, dan Henry David Thoreau (1817-1862) dengan karyanya “Walden”. Ketiganya mengetengahkan wajah alam Amerika tempo dulu sebagai pusat penceritaannya. Emerson, misalnya, dalam kesemulajadiannya yang lebih cocok dikategorikan sebagai esei reflektif, menggambarkan dengan kata-kata yang sangat dramatis: bagaimana ia/ melintasi sebuah jalan yang lengang, dalam genangan salju, pada sebuah senja, di bawah langit berawan, tanpa berfikir bahawa/ dirinya/ memiliki keberuntungan yang luar biasa/, ia/ telah menikmati kegembiraan yang sempurna. Ia/ senang dengan menyingkirkan ketakutannya.

Fuller sendiri terkesima dengan lanskap Niagara ketika ia menjadi mahasiswa di Harvard. Ia menuliskan: Di sini tak ada jalan keluar dari beban penciptaan yang terus-menerus. Semua ciptaan dan gerakan datang dan pergi … angin, dengan kekuatannya, bergerak kencang dan berhembus, tapi di sini gerakan seperti tak putus-putusnya dan tak kenal lelah. Terjaga atau tertidur, tak ada jalan keluar …. Betapa saya telah merasakan keagungan…. Sedang Thoreau dalam 'Walden'nya, menceritakan kehidupan ia selama dua tahun di sebuah pondok dekat kolam Walden, beberapa kilometer dari kota Concord, Massachusets. Ketiganya, sebagai karya klasik, seakan meletakkan kehidupan moden dan memperbaharui diri dengan cara `kembali ke alam` atau 'back to the nature'. Ketiga buku inilah yang menjadi fondamen karya yang berpusat pada ekologi (Barry, 2002).

Bagaimana dengan Sabah? Sastera hijau mungkin belum terlalu marak dibahas di negeri ini. Walaupun demikian, dengan konsep kembali ke alam semulajadinya, kita boleh menyebutkan penyair Jair Sulai antaranya. Dalam menanggapi karya-karya Jair sebagai sosok yang karya-karyanya teramat kental dengan suasana dan diksi alam, Zurinah Hassan berpendapat alam (dalam konteks fauna dan flora) amat penting di dalam proses kreatif seorang penyair. Daripada renungan terhadap alam penyair menemui makna kewujudan dan makna kehidupan. Misalnya sungai yang mengalir deras mengingatkan kepada perjalanan waktu dan perjalanan usia yang berlaku. Hijau menggambarkan di awal usia manusia. Bunga melambangkan wanita yang cantik dan sebagainya lagi.  

Abdul Rahim Tapah, dalam 'Setiap Kali' (lihat Tergantung pada Kata).merupakan salah sebuah contoh terbaik bagaimana alam mempengaruhi proses kreatif seorang penyair Melayu. Penyair merenung alam tetapi renungan itu berbalik kepada diri dan memberikan makna yang lebih mendalam terhadap erti kewujudan dan kehidupan di dunia yang akan berakhir. Setiap kali melihat daun yang gugur dia terkenangkan nasib yang tidak menentu. Seperti daun yang diluruhkan angin, dia tidak dapat bertahan buat selama-lamanya.

Dalam puisi 'Rumpun' karya Arifin Arif (Tergantung pada Kata m.s. 90), Arifin menyatakan rumpun hijau dengan kasih sayang yang menyuburkan ukhuwwah. Rumpun menghijau kerana akar yang kejap dan masih sayang bertambah subur atas rasa tulus ikhlas.

Lain halnya dengan 'Hujan Bulan Juni'nya Sapardi. Sepintas lalu, judul puisinya sangatlah tidak logik menurut sebuah kajian ekokritikan. Bagaimana mungkin ada hujan pada bulan Jun di Indonesia? Tapi, setelah kita tahu, bahkan ketika PBB mengadakan panel 'Climate Change' di Bali pada awal April 2007, bahawa musim hujan datang tidak lagi sesuai dengan jadualnya. Pada September 2007 yang diduga akan dilanda hujan lebat lewat fenomena El-Ninonya, pada hal  kecolongan hujan lebih dahulu pada bulan Februari. Banjir di Ibu Kota Jakarta menjadi buktinya. Jun yang secara klimatologis harusnya mewakili musim kemarau, justeru didera hujan terus-menerus. Terbukti bahawa 'Hujan Bulan Juni'nya Sapardi bukan hanya imaginasi belaka. Secara intuisi, para penyair mungkin telah berimaginasi melalui metafora-metaforanya, tetapi pada akhirnya mereka tidak pernah mengetahui kekuatan alam yang masih tersembunyi.

Dari sudut kearifan tempatan dalam konteks Sabah, ekokritik lebih bebas dalam memperkatakan karya-karya etnik yang banyak memaparkan hubungan budaya dengan alam, hubungan alam dengan kepercayaan dan hubungan kedua-duanya dengan Sang Pencipta. Ilmu berkaitan ekologi memberikan sumbangan yang besar apabila pembicaraan mengenainya akan membuka ruang secara lebih meluas terhadap misteri alam yang terbentang dan yang tersembunyi. Pembicara ekokritikan boleh membuktikannya seandainya ada kesediaan mengaplikasikan pendekatan ini terhadap karya para penulis Momogusia sebagaimana terdapat Kumpulan cerpen 'Pugai Belabak' dan 'Tangon' serta Kumpulan Puisi  'Nafas Bumi' sebagai kajiujinya.  Usaha ini sudah pasti akan memberikan impak yang tidak kecil terhadap perkembangan sastera khususnya di Sabah, bahkan di peringkat Kebangsaan dan serantau.

MEMBINA PENULIS KREATIF

BARU-BARU ini saya dilibatkan dalam program bicara karya yang dinamakan SUNTIK di Sudut Penulis Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah. Dalam program ini saya diberikan peranan memilih sebuah puisi terbaik dan sebuah puisi yang perlu suntikan. Karya-karya yang dimaksudkan ini merupakan puisi-puisi yang pernah disiarkan di media massa tempatan sepanjang bulan Julai 2017.

Ketika membaca, sebanyak 30 buah karya puisi yang disiarkan, saya dapati banyak sekali yang memerlukan pemantapan. Penulis-penulis yang terlibat ini termasuk mereka yang mapan seperti Mahmud Jahar, Sabahuddin Senin dan Kembara Muda. Kedudukan mereka sebagai penulis yang mapan memang tidak kita ragui. Saya tidak menghadapi masalah dengan puisi mereka. Terdapat juga penulis yang memang sentiasa mengisi ruang sastera di surat-surat khabar tempatan misalnya R.Disma, Slem Maribin, Hanafiah MZ, Nor Aisyah Maidin dan Ramlie Jalimin Jainin. Nama-nama ini disusuli dengan penulis-penulis baharu antaranya Gabriel Kimjuan, Norima Zain, Umairah Aisyah, Darmata Haji Matlan, Chacho Mohama dan Rozeline Vitalis

Saya memilih karya Nor Aisyah Maidin berjudul ‘Terbanglah’ yang tersiar di Utusan Borneo disebabkan beberapa hal; antaranya kejayaannya memilih tema yang baik, pemilihan diksi yang mempesona dan segar di samping keindahan gayabahasa yang bernas. Berdasarkan ukur tara sebuah puisi yang baik saya fikir Nor Aisyah berjaya menggunakan tipologi puisi yang indah berbanding puisi-puisi yang lain. Bentuk lirik yang dipilihnya juga turut digunakan oleh Ramlie Jalimin Jainin. Namun kesatuan diksi dalam puisinya memerlukan pemerhatian lebih lanjut. Maknanya perlunya pembacaan lebih daripada sekali sehingga kesatuan diksi yang saya maksudkan memikat naluri pembaca. Saya juga mengamati karya-karya Chacho Mohama. Chacho bukanlah penulis muda tetap penulis baharu yang matang kerana usianya. Mengingatkan nama ini saya fikir puisi-puisi beliau yang terdapat dalam “Antologi Puisi - Kepimpinan Musa Aman dalam Puisi” lebih bertenaga. Saya mencadangkan supaya Chacho (bahkan penulis-penulis yang lain juga) mengelakkan puisi yang terlalu pendek. Puisi pendek dibolehkan sekiranya kesepaduan puisi itu wajar.

Daripada pengamatan terhadap puisi-puisi sepanjang bulan Julai tersebut, sukalah saya nyatakan bahawa para penulis perlu banyak membaca karya-karya para penulis tersohor. Mereka perlu juga berguru dan rajin bertanya kepada yang mahir dalam genre ini. Saya perhatikan ramai penulis yang disebutkan menulis di media sosial namun kekerapan menyiarkan puisi sedemikian belum menjamin karya menjadi lebih baik tanpa suntikan tertentu. Para penulis perlu berani berinteraksi dengan tokoh-tokoh tertentu. Begitu mereka berani mencipta gayabahasa, keberanian juga dituntut ketika berhadapan dengan rakan-rakan yang melakukan teguran atau apabila kritikan dilakukan oleh pembicara yang kritis.

Ketika memberikan pandangan terhadap puisi-puisi yang
disiarkan di media massa di Sabah melalui program
S U N T I K.
Selain banyak membaca dan kerap berinteraksi dengan rakan-rakan penulis, program penataran atau bimbingan penulis juga antara langkah terbaik membina kreativiti penulis. Program bimbingan atau bengkel penulisan sering dianggap sebagai salah satu elemen penting dalam pemantapan karya. Meski pun terdapat penulis yang tidak pernah menyertai sebarang bengkel penulisan tetapi masih mampu menghasilkan karya yang baik. Sebaliknya, individu yang kerap menyertai bengkel penulisan pula ada yang langsung tidak menunjukkan karya mereka. Ini dapat dibuktikan kerana bilangan bakal penulis itu lebih ramai berbanding jumlah karya sastera yang dihasilkan. Dalam erti kata yang lain, aktiviti berbengkel tidak lebih sebagai pertemuan dalam kalangan rakan-rakan atau berkenalan dengan pembimbing. Padahal pengertian bengkel sendiri membawa maksud aktiviti penambahbaikan karya di mana setiap peserta wajib membawa karya yang sudah siap. Dalam keadaan  di mana karya berkenaan memerlukan penambaikan, sepatutnya peserta yang pernah atau mempunyai karya sahaja perlu menghadiri mana-mana bengkel yang dianjurkan. Bagaimanapun, setiap penulis atau sesiapa juga yang meminatinya mempunyai pilihan masing-masing terutama sekali bagi bengkel-bengkel penulisan yang berbayar.

Novelis terkenal, Azmah Nordin hanya sekali bengkel penulisan novel yang disertainya tetapi berjaya menghasilkan puluhan novel dan ratusan cerpen sehingga puncaknya beliau merupakan salah seorang pengarang yang meraih kecemerlangan termasuklah menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara atau SEA Write Award 2009. Sasterawan yang dijolok sebagai pengamal feminis ini turut membimbing ramai penulis khususnya dalam genre novel dan cerpen. Jasni Matlani, penerima SEA Write Award 2015 juga turut membuka ruang kepada para penulis baharu dan malah yang mapan mendalami dunia penulisan baik novel mahupun cerpen. Beliau banya mengadakan bengkel-bengkel penulisan kreatif. Malah terlibat dalam program-program sastera di luar negara. Selain Azmah dan Jasni, seorang lagi penulis yang berjaya iaitu Ruhaini Matdarin juga sering berkongsi ilmu penulisan. Di Sabah kita tidak kekurangan pakar sastera kreatif, tinggal para penulis sendiri melakukan pilihan mereka.

Seorang lagi penerima SEA Write Award 1992, Allahyarham Amil Jaya pernah membimbing beberapa orang penulis yang diadakannya pada waktu malam di pejabatnya sehingga dapat menyiapkan beberapa buah novel di bawah bimbingannya. Salah seorang penulis yang berjaya diasuhnya ialah Hajah Asmiah Haji Ajamain. Konsep ini pernah juga dilakukan oleh Dr.Ramli Isin. Selain membimbing dalam bentuk kuliah beliau akan memeriksa karya yang dihasilkan termasuk yang pernah tersiar di media. Beliau menegur dan memberikan tunjuk ajar secara empat mata kepada peserta. Ketika itulah beliau sebagai pembimbing mengenali pesertanya secara dekat, mengetahui proses penulisan peserta dan pada masa yang sama memberikan input atau masukan ilmu penulisan kepada pesertanya. Ramai tokoh sasterawan tanah air mengasuh penulis-penulis Sabah sama ada di bawah anjuran DBP Cawangan Sabah atau persatuan-persatuan penulis. Antaranya Allahyarham Dr. Othman Puteh, Allahyarham Ali Majod dan A.Rahim Abdullah. Sejak program Minggu Penulis Remaja ditiadakan dan Dr.Othman Puteh kembali ke rahmatullah, kebangkitan penulis-penulis muda semakin tumpul dan perlahan. Buku-buku sastera juga tidak banyak diterbitkan. Sehinggalah terjadinya suatu kebangkitan baharu atau ledakan penerbitan yang luar biasa pada 2012 apabila Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) mengorak langkah drastik. Penulis-penulis Sabah bangkit!

Peranan DBP Cawangan Sabah dalam membina para penulis kreatif juga tidak harus dipandang ringan. Meskipun pada masa ini agensi tersebut membekukan penerbitan beberapa genre sastera, namun usaha yang telah dilakukan seperti bengkel pembinaan judul dan perolehan manuskrip novel serta cerpen amat membantu. Kita terpaksa mengakuri gerakan sastera khususnya bidang penerbitan agak terbatas atas kekangan kewangan. Namun para penulis perlu mencari punca yang lain agar gerakan sastera tidak semata-mata mengharapkan dana pihak Kerajaan. Para penulis yang mampu hendaklah mencari pilihan yang lain misalnya menerbitkan sendiri manuskrip mereka. Ini bermakna para penulis perlu mengeluarkan dana dari poket mereka. Jika tidak, manuskrip yang baik apabila tidak sampai kepada khalayak pembaca, dunia sastera akan tenggelam.

Program bimbingan penulisan kreatif di mana-mana juga memang menjadi agenda penting untuk membina dan melahirkan penulis-penulis baharu. Mereka yang berbakat akan digilap dari semasa ke semasa. Penganjur perlu sekali mencari bakat-bakat muda ini khususnya mereka yang benar-benar komited mendapatkan pembimbing yang berwibawa. Apapun juga bunyinya, para penulis yang menggunakan peluang menyertai program-program bimbingan penulisan perlu menjana kreativiti mereka seperkasa mungkin. Dengan begini, peluang untuk didedahkan kepada program yang lebih besar menjadi milik mereka, misalnya Program Penulisan Kreatif Mastera atau Program Penulisan Antarabangsa Iowa. Amerika Syarikat.

Pada sisi yang lain, para penulis perlu juga akur terhadap ukur tara dalam dunia penulisan khususnya karya kreatif. Catatan saya pada minggu lepas diharapkan boleh menjadi sebahagian daripada banyaknya ‘vaksin’ dalam suntikan memperkasa serta membugar para penulis. Penulis yang berwibawa sudah tentu akan menggunakan pengalaman dan pengetahuannya melahirkan karya yang berdaya tahan. Berdaya tahan sebagai rujukan generasi akan datang dan menjadi ‘master piece’ khazanah sastera kemudian hari.


Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com