Ketandusan karya atau ketandusan khalayak?



SEKURANG-KURANGNYA tiga isu menjadi bualan di laman sosial Facebook sepanjang minggu ini. Isu-isu yang dimaksudkan iaiah gelaran sifu, puisi tidak boleh diajar dan kehilangan khalayak sastera. Saya mengikutinya dengan penuh perhatian. Mungkin tujuan sesetengah pihak ingin membetulkan atau bertujuan memancing pemerhatian khalayak sastera dan orang awam. Kelihatan juga unsur-unsur umpanan ke arah polemik.

Menggelar mentor boleh apa sahaja seperti guru, cikgu, 'sir' waima sifu sekalipun. Apa salahnya. Sifu memang sinonim dengan dunia kungfu seperti selalu saya tonton filem-filem aksi China. Tetapi tidak bersalahan untuk dunia pembelajaran, tidak juga menyebabkan sesiapa kurang makan atau disumbat ke dalam penjara.  Namun apabila dikatakan puisi tidak boleh diajar saya fikir itu kurang tepat. Pada saya mengajar berpuisi bukan setakat memberitahu bagaimana menulis puisi tetapi lebih luas daripada itu. Saya suka membaca karya para penulis yang mahu belajar dan memberikan teguran, jika perlu. Namun saya juga suka sekiranya mereka juga boleh membaca puisi, menulis esei atau resensi tentang puisi. Jika dikaitkan dengan dunia pembelajaran, saya fikir bahawa apa yang dilakukan oleh guru-guru atau sifu-sifu puisi itu ialah perkongsian atau apresiasi. Mereka memberikan gambaran bagaimana puisi yang terbagus boleh dihasilkan. Dalam konteks ini bukan bererti seorang yang diajar itu akan menjadi seorang penyair tetapi setidak-tidaknya inilah bahagian langkah ke arah itu.

Sesiapa sahaja yang bergelar penulis percaya kepada faham yang dilakukannya apabila dia menulis. Menulis bererti dia mahu menyalurkan sesuatu informasi atau mesej.  Tulisan dan bacaan mempunyai hubungan yang rapat dan saling melengkapi.  Seseorang akan membaca hasil tulisan seseorang dan hasil tulisan seseorang pula adalah untuk dibaca oleh orang lain.  Begitu juga apabila seseorang menulis, dia juga sedang membaca apa yang ditulisnya.  Tulisan adalah lambang-lambang bunyi yang diwakili oleh perkataan-perkataan yang ditulis.  Apabila lambang-lambang yang ditulis itu dibaca atau dibunyikan semula, maka barulah wujudnya bahasa melalui tulisan itu. Melalui tulisan manusia melahirkan perasaan, fikiran, dan juga kemahuan mereka.  Melalui tulisan juga manusia dapat menikmati keindahan bahasa melalui penulisan yang indah dan penulisan yang banyak memberi maklumat.

Saya pernah memaparkan catata-catatan menyentuh dunia penulisan puisi. Antaranya bagaimana mengukur sesebuah puisi, bagaimana menilai kebagusan sesebuah karya dan sebelum itu mengenengahkan penataran karya dengan menyuguhkan beberapa aspek serta elemen utama pembinaan karya. Jarang orang berkata atau bertanya tentang puisi yang jelek. Jarang juga pak guru berkata karya ini atau itu buruk tetapi dia akan memperkemaskan gayabahasa agar muridnya menerima motivasi atau perangsang untuk berusaha mendapatkan sentuhan yang baru.

Rata-rata guru sastera akan memberikan tip-tip tertentu misalnya mereka boleh berkata seperti 'untuk menghasilkan puisi yang baik, bahasa yang berseni amat diperlukan' dan sebagainya. Benar sekali. Jika dimaksudkan pemilihan kata atau diksi yang tidak selektif sudah tentu akan menjadikan sesuatu puisi itu kosong, hambar dan tidak mempunyai kesan sensitiviti. Pada dekad mutakhir, ada penulis yang melebihkan aspek emosi dan maksud yang ingin disampaikan, dengan alasan puisi merupakan elemen kritikan. Namun begitu, seni masih menjadi pegangan utuh kerana puisi yang ditulis secara improvisasi (spontan dan tidak dirancang) lazimnya lemah daripada aspek seni. Puisi-puisi spontan biasanya ditulis khasnya yang dipaparkan di Facebook kerana sifatnya yang interaktif. Saya beranggapan puisi di Facebook bukanlah sebuah karya yang selesai. Lainlah sekiranya penulis menyalin puisinya sendiri atau puisi orang lain yang pada anggapannya bagus yang pernah diterbitkan dalam bentuk cetakan buku.

Sesetengah penulis memang ada yang kurang bersabar. Samalah ketika dia memberikan reaksi terhadap sesuatu isu secara polos tanpa berfikir panjang atau melakukan kajian dan penyiasatan terlebih dahulu, natijahnya sungguh memalukan dirinya sendiri. Memang tepat bahawa karya ekspres atau spontan itu merupakan sebuah karya yang hebat apabila dimurnikan dan menerapkan unsur-unsur seni yang sewajarnya. Tempohnya barangkali cepat dan boleh jadi lambat. Ada waktunya kesabaran meranumkan sesebuah karya. Begitu kesabaran dituntut tetapi ada keadaan di mana karya yang bersentuhan dengan situasi semasa akan bertukar 'bangas' kerana membiarkannya dieram sedangkan ia menawarkan suara yang segera didengar, segera dinikmati emosi dan juga mesejnya.

Isu terakhir, benarkah sastera telah kehilangan khalayak? Soalnya siapakah khalayak yang dimaksudkan? Apakah khalayak itu merujuk kepada semua manusia di dunia ini? Atau kita, kamu, dia atau sekadar rakan-rakan penulis. Mungkin khalayak itu turut termasuk para pembaca, pentelaah atau pengkaji sastera. Tidak benar jika dikatakan sastera Melayu telah kehilangan khalayak. Mungkin yang boleh dibincangkan ialah khalayak telah ketandusan karya-karya yang bagus. Mungkin kenyataan ini juga bakal mencetuskan polemik yang lain memandangkan ribuan buku berada di pasaran, tidak mungkin ketandusan karya. Jika dikaitkan dengan soal 'hebat', 'baik' atau 'bagus' sudah tentu ia bersangkut dengan soal mutu dan intipati sesebuah karya. Polemik juga akan tercetus kerana seolah-olah memperlekehkan perjuangan pihak yang bermati-matian mengangkat sastera Melayu. Tidak mengapa kita biarkan dulu perkara ini kerana apa pun yang diusahakan dan apa yang kita mahukan adalah hasilnya. Sejauh mana usaha pembinaan penulis dan pemugaran karya para penulis sudah dilakukan kita masih mencari sebuah adi karya yang mencerminkan bangsa yang unggul dan dalam konteks di Sabah hal ini masih harus terus dilakukan.

Mudah-mudahan program pemugaran karya yang sedang diusahakan oleh sekelompok individu yang prihatin terhadap pembinaan penulis dan karya dipermudahkan dan berjalan dengan sempurna. Program yang dilakukan tanpa batas kelompok seseorang penulis itu patut dipuji dan diberikan sokongan. Apa yang paling penting ialah produk yang terlahir daripada program ini akan mencatatkan sesuatu yang membanggakan. Penulis harus berjuang. Ada yang berjalan melalui landasan organisasinya. Ada yang berdiri sendiri. Ada yang menyambut dalam makna menyokong. Akhirnya pada fikiran saya, semua penulis perlu bersama-sama dalam sebuah kapal membawa jentera yang perkasa. Jentera perkasa penulis bukan lagi pena atau fikiran semata-mata tetapi kedinamikan ilmu untuk merentas benua, meredah arus globalisasi. Karya sastera kita harus ke arah itu.

Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com