Pengantologian karya sastera



BERAPAKAH jumlah puisi anda yang termuat dalam bentuk antologi? Mungkin telah mencapai ratusan buah. Mengapa tidak? Jika anda antara penyair yang prolifik serta aktif sekitar tahun 80-an sudah tentu sering ikut serta dalam penerbitan antologi puisi sempena program Mahrajan Sastera Islam yang dilaksanakan setiap tahun sejak 1987 hingga 2005. Sebanyak 18 buah buku telah diterbitkan secara bersama oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah (DBP) dan Majlis Ugama Negeri Sabah (kini Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Sabah). Kemeriahan sambutan Maulidur Rasul begitu dirasai oleh para penyair Islam di Sabah malah jika disebut dari segi kekerapan peristiwa ini boleh dimasukkan dalam rekod buku Malaysia.

Tiada penyair di mana juga tidak pernah menyertai penerbitan antologi. Ini merupakan salah satu pendekatan bagaimana karya mereka dibukukan dan disebar bacakan kepada khalayak secara teratur. Bukan bermakna karya eceran yang tersiar dalam majalah atau surat khabar tidak bagus tetapi melalui kompilasi karya dalam bentuk cetakan buku memberikan impak yang tersendiri khususnya para penyair yang baru menulis puisi.

Antologi, secara harfiah diturunkan daripada kata bahasa Yunani yang bermaksud 'karangan bunga' atau 'kumpulan bunga', diertikan sebagai sebuah kumpulan daripada karya-karya sastera. Awalnya, definisi ini hanya mencakup kumpulan puisi (termasuk syair dan pantun) yang dicetak dalam satu volume. Namun, antologi juga dapat bererti kumpulan karya sastera lain seperti cerita pendek, novel pendek, esei dan sebagainya. Dalam pengertian moden, kumpulan karya muzik oleh seorang artis, kumpulan cerita yang ditayangkan dalam TV juga tergolong sebagai antologi. Bagaimanapun lazimnya hanya karya sastera puisi dan cerpen sahaja yang banyak dikaitkan dengan antologi hingga kini.

Banyak peristiwa yang terjadi sama ada di dalam negara atau di peringkat antarabangsa menjadi kecenderungan untuk penebitan karya secara bersama. Terkini apabila Israel mengulangi serangannya ke atas Gaza Palestin. Selain kutipan derma, puisi menjadi antara pilihan bagi masyarakat kita khususnya para penulis. Satu ketika dulu pernah terbit antologi berjudul 'Luka Bosnia' (Bahasa, 1992) semasa umat Islam Bosnia dianiaya dalam pembunuhan beramai-ramai oleh Serbia. Sudah tentu matlamat penerbitannya jelas untuk menggambarkan sikap para penyair terhadap peristiwa misalnya mengutuk kejahatan Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa. Menyatakan rasa simpati terhadap mangsa bencana alam seperti gempa bumi misalnya, boleh dilihat melalui karya-karya yang terkumpul daripada ramai penyair.

Mengkompilasikan puisi atau cerpen sempena majlis-majls sastera juga antara kecenderungan aktiviti sastera. Saya pernah tidak ketinggalan mengemukakan puisi-puisi untuk tujuan penerbitan karya bersama. Misalnya sempena Hari Puisi Nasional walaupun tidak semua penerbitan program ini memuatkan puisi-puisi saya. Pada tahun 2000 saya terlibat sebagai penyelenggara antologi 'Jauh yang Erat' (MBSS, 2000) bersama Ariffin Arif sempena Pertemuan Budayawan Serantau BIMP-EAGA. Semasa bersama Kumpulan Anak Seni (KAS) sekitar tahun 80-an saya begitu gemar mengumpul karya ahli-ahli persatuan untuk diterbitkan walaupun dalam bentuk stensilan tetapi formatnya sama seperti buku. Pengalaman mengantologikan puisi yang paling berkesan ketika persatuan memposterkan puisi yang popular dalam kalangan ahli KAS sebagai 'kumpulan puisi tersepit'. Sayang sekali poster puisi tersebut tiada dalam simpanan saya. Saya percaya Hajah Zaiton Ajamain yang memimpin KAS ketika itu masih menyimpannya. Allahyarham K.Bali antara sasterwan Sabah yang cukup sinonim dalam perkembangan sastera di Sabah semasa khususnya beliau berada di akhbar Sabah Times. Pengalaman mencetak antologi puisi bersamanya tidak saya lupakan. Idea beliau cukup bagus kerana banyak puisi yang diterima tidak semua dapat disiarkan. K.Bali mengajak saya memilih dan menaip puisi-puisi yang terpilih untuk diantologikan. Ketika itu komputer belum lagi ada. Saya gunakan stensil dan mencetak menggunakan mesin khas secara manual kemudian menyusun seterusnya siap menjadi sebuah buku. Walaupun dalam bentuk saiz A4 tanpa kulit yang cantik, K.Bali amat berpuas hati. Menariknya beliau menjualnya RM2 senaskah. 

Mengantologikan puisi terus dilakukan tetapi tidak lagi dilakukan oleh DBP di Sabah tetapi sama ada oleh individu atau persatuan penulis. Pada tahun 80-an, pegawai-pegawai projek DBP begitu komited menghimpun puisi para penyair tempatan. Banyak antologi puisi diterbitkan misalnya 'Gema Lembah Kinabalu', 'Siapakah Antara Kita' dan 'Kun'. Penerbitan yang teratur oleh agensi ini sepatutnya diteruskan. Pada tahun 2004, barulah penerbitan karya penulis dihidupkan dalam bentuk yang lebih luas iaitu kumpulan puisi persendirian. Selain saya dengan buku puisi 'Menginai Badai', penyair yang berpeluang dalam penerbitan ini antaranya Ramlie AR (Di Kebun Amal), Rubiah Nurdin (Pelayaran),  ABM Fajeer (Taufan) dan Hajah Dayang Salmah Salam (Bisikan Nurani). Bagaimanapun buku-buku ini tidak tersebar secara meluas kerana terbatas untuk edaran penyair terbabit sahaja. Disebabkan itu, saya membina blog khas dengan judul 'Menginai Badai' dengan matlamat agar puisi-puisi yang diterbitkan itu boleh dibaca oleh khalayak luas meskipun secara percuma. Selain 'Menginai Badai' saya juga memblogkan kumpulan puisi 'Kembali di Lahad Rahsia' yang diterbitkan pada tahun 2008.

Mutakhir ini gerakan sastera cukup semarak dan kecenderungan menerbitkan karya sastera baik puisi mahupun cerpen kembali memuncak. Perkembangan ini cukup menarik ditambah lagi penglibatan agensi buku seperti Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBM) turut memperkasakan upaya penerbitan buku negara ini. Di peringkat tempatan, saya tertarik kerana generasi baru menunjukkan iltizam mereka untuk menceburkan diri dalam bidang penerbitan. Upaya yang akan dilaksanakan oleh beberapa orang penulis muda dalam program pemugaran karya akan melengkapkan pemerkasaan dunia buku yang bermutu. Upaya seperti ini penting sama pentingnya dalam program penataran atau bengkel karya kreatif yang menghasilkan produk terbaik sebagai pilihan bacaan masyarakat. Moralnya ialah perancangan penerbitan harus bersifat profesional. Sebarang karya harus didokumentasikan dalam bentuk surat kebenaran atau lesen penerbitan. Amalan sekarang begitu mudah dan dengan adanya kemudahan teknologi karya mampu diperolehi atau dihantar dengan cepat. Soalnya apakah para penyair atau penulis menyedari matlamat karya mereka diantologikan? Ada individu naik angin apabila penulis ingin tahu latar belakang pihak penyelenggara penerbitan antologi puisi dalam kalangan penuls baru. Isu ini mungkin remeh temeh tetapi para penulis mempunyai hak untuk tahu supaya karya-karya yang mereka kemukakan tidak sia-sia.

Saya mempunyai harapan yang amat tinggi agar karya sastera yang terlibat dalam sesuatu penerbitan antologi diselaras dan diurus dengan teratur daripada semua segi. Penyebaran yang meluas tidak memberikan sekadar karya tetapi pemilik karya itu. Dan sekiranya mengambil kira karya sastera sebagai harta intelek sudah pasti isunya akan lebih panjang tetapi tetap terhormat.


Reader Comments



Salam Puisi

PUISI merupakan sebuah genre kesusasteraan yang lahir daripada gembelengan seluruh tenaga yang ada: dalam dan luaran, fakta dan renungan imaginasi dan pengalaman penyair yang menakjubkan. Lihatlah, adakah seorang penyair yang mencipta puisi sepanjang waktunya? Tentulah tidak. Dia hanya menggarap atau berkarya pada saat-saat jiwanya tersentuh, mindanya terbuka dan kreativitinya mendesak. Pada ketika itu, percayalah jiwanya meronta-ronta untuk menyatakan sesuatu yang dilihat, mungkin juga yang didengar, memberi reaksi terhadap apa yang terjadi dan kadang-kadang juga mencuba mencari jawapan serta penyelesaian kepada apa yang berlaku. Para penyair bekerja dan berjuang dengan persepsi yang jauh lebih meresap, menggunakan kata-kata juah lebih halus, yang mampu meruntun rasa pembaca yang jauh lebih mendasar. Kita ingin menyelami yang tersurat daripada sesebuah karya. Blog ini merupakan sebuah alternatif ke arah mengangkat karya-karya kreatif para penyair di Sabah menerusi pembicaraan kritis terhadap puisi-puisi yang pernah diterbitkan bercetak di akhbar-akhbar tempatan di Sabah. Pembicaraan ini bersifat interaktif dan mesra baca dan tidak tercetak di mana-mana media. Mudah-mudahan usaha ini menjadi sebahagian rekayasa pencerahan karya serta kepenyairan para penyair yang terlibat. Usaha ini merupakan sumbangan peribadi saya yang amat mencintai puisi. Ia tentunya bukan suatu yang sempurna. Jestru, anda boleh melakukan sebarang komentar terhadap pembedahan karya-karya berkenaan melalui ruangan yang disediakan.

Ungkap Sasterawan

Yang kami perlukan kata benar bukan cerita besar ~ SN Muhammad Haji Salleh.

Saya rajin mengarang tetapi tidak tahu sama ada saya maju atau berkembang. Mungkin saya hanya rajin mengarang sahaja, tetapi masih di takuk lama ~ SN Shanon Ahmad

Sastera dan Seni tidak bererti kalau kesusasteraan tidak bergoncang ~ SN Dato' A.Samad Said

Mengatur bahasa bererti mengatur fikiran bangsa, menambah kata-kata bahasa bererti menumbuhkan fikiran bangsa. Bahasa itu jiwa bangsa ~ Sutan Tadbir Alisjahbana

Kita tahu bahawa seni itu indah dan indah itu bagi seseorang tidak sama ~ Dharmawijaya

Kalau hendak memperbaiki karangan adakan peraturan dalam fikrian ~ Rabindranath Tagore

Blogger Templates by Blog Forum



ONY SAHARA ROSNAH

JAIR SULAI

Arkib

Catatan Popular


Get Free Shots from Snap.com